Pages

Monday, October 7, 2013

NS gagal manfaat kedudukan strategik PD


PORT DICKSON: Kerajaan negeri gagal memanfaatkan kedudukan strategik Port Dickson dengan sepenuhnya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PKR kawasan itu M Ravi.

Ini memandangkan Port Dickson memiliki sebuah pantai yang popular dan bersempadan dengan dua buah negeri maju (Selangor dan Melaka) serta hampir dengan dua lapangan terbesar di negara ini, KLIA dan LCCT.

Tegas beliau, “Kerajaan Negeri Sembilan gagal memanfaatkan kedudukan strategik Port Dickson untuk menarik kemasukan pelabur bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

“Apakah Kerajaan Negeri tidak sedar begitu banyak longgokan projek-projek terbengkalai di sepanjang Jalan Pantai dari Bagan Pinang, Telok Kemang sehingga ke Pasir Panjang?.

“Sedangkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut dan Port Dickson yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat semakin berkembang pesat. Projek yang dahulunya terbengkalai kini giat dibangunkan semula.

“Tetapi mengapa pula DUN Bagan Pinang dan Linggi yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) terus dibiarkan? Apakah kerana sudah menang di Bagan Pinang dan Linggi, maka kerajaan BN ‘take for granted’ terhadap sokongan rakyat?,” soal beliau.

Contoh katanya, projek terbengkalai Lebuhraya Port Dickson–Pasir Panjang yang kerja pembinaannya telah dimulakan semula tetapi sehingga kini peratus kerja tidak memuaskan.

“Ada sumber menyebut kontraktor terlibat telah memohon untuk menangguhkan lagi untuk tempoh enam bulan bagi menyiapkan projek yang telah tertangguh selama lebih tujuh tahun,” jelasnya.

Ravi menyoal, “berapa lama lagi rakyat terus menanggung kepayahan hasil dari kesilapan perancangan dan berapa banyak lagikah wang rakyat yang membayar cukai akan dibazirkan?”.

Beliau menuntut Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan satu pelan pembangunan yang dapat terus merangsang ekonomi Negeri Sembilan secara kesuluruhannya, khasnya di daerah Port Dickson.

Ini katanya, supaya Port Dickson tidak dilabel sebagai bandar memiliki banyak projek terbengkalai yang mencacatkan reputasi Port Dickson sebagai ‘Pantai Peranginan Negara’.

Enam tuntutan

Ravi juga mengutarakan enam tuntutan rakyat Port Dickson berkaitan infrastruktur kepada Kerajaan Negeri Sembilan:

1. Menaik taraf Jalan Pantai dari Port Dickson hingga ke Pasir Panjang dan Linggi.

2. Menaik taraf Jalan Port Dickson ke Sepang.

3. Menghidupkan semula perkhidmatan keretapi dari Seremban ke Port Dickson.

4. Menambah baik perkhidmatan bas awam dam memperluaskan perkhidmatan bas dari Port Dickson terus ke Kuala Lumpur.

5. Menyediakan perkhidmatan bas awam dari Port Dickson ke KLIA, LCCT dan Putrajaya.

6. Menyediakan perkhidmatan bas awam dari Port Dickson ke Melaka.

Menafikan hak awam ke pantai

Di samping itu katanya, semua projek yang dilaksanakan haruslah berpandukan kepada aspirasi dan kehendak rakyat; bukan melaksanakan projek yang tidak menguntungkan pembayar cukai atau pun menyerahkan kawasan yang sepatutnya menjadi milik awam kepada syarikat swasta.

“Mengambil contoh projek ‘PD Wellness Zone’ yang menafikan hak awam ke atas pantai Telok Kemang di lokasi itu.

“Satu lagi contoh ialah bagaimana projek Bandar Tentera Darat yang setakat ini tidak memberikan manfaat secara langsung kepada kepada warga tentera serta veteran Angkatan Tentera Malaysia.

“Lebih banyak inisiatif dan peluang menjalankan perniagaan dan pembangunan keusahawanan untuk Bumiputera khasnya veteran tentera perlu diwujudkan,” jelas Ravi.

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab