KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak memandang ringan berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi N20, Dun Sungai Limau 4 November ini.
Menurut beliau, biarpun atas kertas PAS dilihat selesa dengan majoriti agar besar menerusi kemenangan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, namun pada PRK kali ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
"Saya berharap agar semua lapisan pimpinan parti PAS tidak memandang ringan cabaran Umno BN di dalam pilihanraya kecil Dun Sungai Limau nanti.
"Gerak kerja harus dimulakan sekarang, jauhi sikap terlampau yakin. Tingkatkan usaha di tahap maksimum, gantungkan harapan kepada Allah SWT.
"Semua pihak di dalam PAS dan Pakatan Rakyat wajib berwaspada, saya yakin pihak lawan akan menggunakan segala macam usaha untuk menawan kembali kerusi tersebut," katanya menerusi Facebook.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November depan sebagai hari pembuangan undi PRK Dun Sungai Limau sementara penamaan calon pada 23 Oktober.
PRK itu diadakan berikutan penyandangnya, Ustaz Azizan meninggal dunia pada 26 September lalu.
Pada PRU13 Mei lepas, Ustaz Azizan yang mendapat 13,294 undi menang dengan majoriti 2,774 undi menewaskan calon BN, Mohd Fazillah Mohd Ali (10,5204 undi) serta dua calon Bebas, Sobri Ahmad (100) dan Abdullah Hashim (84).
No comments:
Post a Comment
Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab