SHAH ALAM: Hasil daripada keputusan mesyuarat biro politik malam tadi telah membuat ketetapan bahawa hari ini, atau esok Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat pengumumun berkenaan keputusan biro politik.
Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu sidang media di Shah Alam selepas merasmikan Majlis Sumbangan Amal Malaysia Woman Marathon 2014.
Menurutnya, semua pihak dinasihatkan memberi ruang kepada Ketua Umum PKR untuk membuat keputusan tersebut dan pihak-pihak lain tidak dibenarkan untuk membuat apa-apa pengumuman.
“Hanya selepas Ketua Umum membuat keputusan barulah ahli-ahli biro politik boleh membuat kenyataan dan pengumuman,” katanya.
Tambahnya, tarikh untuk pengundian semula bagi cabang yang tertangguh dan juga dakwaan bahawa Khalid menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor ekoran pencalonan S. Manikavasagam ditarik semula dan keahliannya digantung juga akan dijawab dan diumumkan oleh Anwar Ibrahim kelak.
“Antara isi penting sewaktu mesyuarat bersama biro politik malam tadi adalah membincangkan berkenaan tatacara pengundian dan penyelenggaraan tempat pengundian bagi memudahkan pengundi mengundi pada masa akan datang,” ujarnya.