Pages

Tuesday, October 8, 2013

Impian Sarawak: Realiti Atau Fantasi?

Projek Impian Sarawak yang dilancarkan DAP beberapa bulan yang lepas sebetulnya adalah persediaan parti tersebut untuk kempen pilihanraya negeri Sarawak dalam masa beberapa tahun akan datang.

Tujuannya hanya untuk menyedarkan rakyat Sarawak tentang banyak kelemahan pentadbiran BN sekarang dalam beberapa persediaan perkara asas terhadap penduduk negeri itu terutama di pendalaman, dan seterusnya mengundi DAP sebagai ganti.

Entah dimana silapnya, dalam projek ini, ia hanya melibatkan DAP, tanpa rakan komponen lain dalam Pakatan Rakyat seperti PAS dan PKR.  Ini yang aku benci sikit ni, kalau dah berkomponen tu, libatkanlah semua sekali, kenapa hanya DAP?

Aku dimaklumkan, antara sebab kenapa PAS dan PKR tidak dilibatkan dalam projek ini ialah kerana projek Impian Sarawak ini antara lain akan cuba menyelesaikan masalah air di kalangan penduduk Sarawak.  
Dikatakan 30% penduduk pendalaman Sarawak masih tidak mendapat bekalan air bersih, sebaliknya menggunakan bekalan air dari sungai.

Tahap keseluruhan rakyat yang menerima bekalan air bersih di Sarawak adalah sebanyak 86.2% (mengikut statistik tahun 2010).

Sedangkan negeri Kelantan yang diperintah PAS, bekalan air bersih kepada rakyat negeri itu masih berada di sekitar 55.7%!!  Statistik ini sudah tentu akan meresahkan DAP, bimbang kalau digunakan pemimpin BN negeri, boleh menyebabkan kegagalan projek tersebut akibat ketidak percayaan rakyat.

Maka itu PAS tidak dilibatkan dalam projek ini, sementara PKR, aku kurang pasti sebab yang sebenarnya.

Walaupun aku faham dengan justifikasi DAP tersebut, tapi perlu diingat yang DAP tidak akan mampu menang secara bersendirian di Sarawak, tanpa penglibatan PKR dan PAS.

Apatah lagi kekuatan DAP hanya tertumpu di sekitar kawasan bandar sahaja, boleh mencetus masalah yang lebih besar.  Selain itu, DAP kekurangan pemimpin dari kalangan kaum pribumi Sarawak, terutama orang Iban yang juga merupakan separuh dari populasi keseluruhan negeri Sarawak.

Pemilihan semula CEC hujung bulan lepas adalah bukti jelas, tidak seorang pun pemimpin pribumi Sarawak yang diterima masuk dari kalangan 20 anggota CEC parti tersebut.

Nak tawan hati rakyat macam mana?  Kalau orang Iban tu boleh cakap cina, senanglah.

Tidak hairanlah kenapa ramai di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat melihat usaha DAP menerusi projek Impian Sarawak ini, adalah satu usaha yang sia-sia, ibarat bermimpi di siang hari.

Sumber dari Sarawak memaklumkan kepada aku, masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya yang menjadi teras dalam projek Impian Sarawak ini bukan tidak boleh dilaksanakan kerajaan sekarang, tapi dihalang oleh keadaan muka bumi yang berbukit bukau, selain jumlah pengguna yang kecil dan tidak duduk setempat.

Apa pun aku mengambil pendirian tunggu dan lihat.  Sementara Pakatan Rakyat akan menyokong apa juga usaha menjatuhkan Taib Mahmud di Sarawak, kita perlu juga berdiri di atas realiti yang sebenar.

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab