KUALA LUMPUR: Kejayaan Datuk Shahrizat Abdul Jalil mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan sayap Umno, Sabtu lalu membuktikan kegagalan parti itu untuk berubah.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Athirah Aiman Al-Jundi menegaskan, tiada perubahan yang berlaku dalam Umno sebagaimana dilaungkan pemimpin parti itu apabila individu yang bermasalah terus dipilih menerajui parti.
Menurut beliau, Shahrizat secara jelas mendapat sokongan dan bantuan daripada pemimpin tertinggi Umno khususnya menjelang pemilihan parti apabila dilantik sebagai Penasihat kepada Perdana Menteri berkaitan isu Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Posisi itu sama taraf dengan kedudukan seorang Menteri," jelasnya.
Kedudukan istimewa yang diperolehi Sharizat, ujar Athirah memberi isyarat kepada perwakilan bahawa dia perlu dikekalkan sebagai pemimpin wanita Umno.
"Saya percaya ramai yang berkepentingan dengan kemenangan Shahrizat kerana dengan kejayaannya maka sebahagian besar proksinya akan terus terbela," tegasnya.
Shahrizat telah meletakkan jawatannya dalam kerajaan menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu ekoran kontroversi pembabitan suami dan anak-anaknya dalam penyelewengan dana Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Beliau bagaimanapun mengekalkan jawatannya dalam parti dan tidak dipilih sebagai calon dalam PRU 2013.
Sebenarnya kata beliau, kemenangan Shahrizat telah dijangka berdasarkan corak pemikiran ahli-ahli Umno khususnya Wanita Umno yang lebih terikat dengan faktor kepentingan peribadi, proksi, kelompok dan 'mengenang budi'.
Beliau bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada ahli Wanita Umno yang menyokong Datuk Maznah Hamid dan Raihan Sulaiman Palestin walaupun keputusannya sangat mengecewakan.
"Saya berharap mereka tidak akan putus asa untuk terus memperbaiki dan membersihkan Umno daripada penyakit korup dan salah guna kuasa," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab