Pages

Monday, November 11, 2013

Kerajaan kena bangkit dari tidur

PETALING JAYA: Ekoran satu lagi kejadian kes tembak mati semalam, Pas menyeru supaya kerajaan tidak menipu diri sendiri dan bangkit dari tidur dalam menangani jenayah.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, melalui satu siaran media yang diedarkan malam semalam, turut menggesa agar isu ini diperdebatkan dalam parlimen.
“Satu mekanisma penyelesaian perlu dicari segera dan Pas menggesa agar perkara ini menjadi agenda utama negara untuk didebatkan di parlimen yang sedang berlangsung,” katanya.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan mengapa penjenayah dilihat semakin berani melakukan aktiviti mereka.
“Rakyat Malaysia kini sudah rasa tidak selamat. Apakah undang-undang dan hukuman serta sistem keadilan yang ada sekarang sudah tidak ditakuti para penjenayah sehinggakan penguatkuasa turut berani dibunuh kerana penjenayah tahu mereka mudah terlepas daripada tuduhan?
Atau ketidakcekapan polis dan penguatkuasaan yang lemah menjadi puncanya para penjenayah dan pembunuh semakin berani?,” soal beliau.
Tambahnya lagi, tragedi seperti ini menggerunkan rakyat dan amat dikesali dalam keadaan kerajaan menjamin yang negara berada dalam keadaan aman.
“Malaysia sudah semakin tidak selamat tatkala polis dan Kementerian Dalam Negeri masih bermain angka statistik untuk menyakinkan rakyat bahawa negara selamat,” katanya lagi.
Selain daripada kegagalan kerajaan mengawal kemasukan senjata api kedalam negara, beliau turut menyatakan kebanjiran warga asing sebagai punca peningkatan kadar jenayah berat yang berlaku.
“Peningkatan kadar jenayah berat kini menuntut kerajaan agar meneliti kelemahan ketara dalam kawalan kemasukan senjata api ke negara ini. Kebanjiran warga asing dalam keadaan tidak terkawal juga menyumbang ke arah ini,” tegas beliau.
Semalam, negara digemparkan dengan satu lagi kes tembak apabila Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang Raflie Ab Malik meninggal dunia setelah ditembak sebanyak 3 kali.
Kejadian berlaku di rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan, awal petang semalam.
Pas turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam itu.
“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan, seorang pegawai penguatkuasa yang sentiasa tegas dalam menjalankan tugasnya. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab