SUBANG: PAS, PKR, dan DAP masing-masing perlu menang 45 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lima tahun akan datang bagi membolehkan mereka menang majoriti dan membentuk kerajaan Pusat.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, jumlah 135 kerusi itu perlu jadi kayu ukur Pakatan Rakyat bekerja dari sekarang dan tidak lagi hanya bergantung kepada memperoleh kemenangan 50 peratus majoriti mudah.
“Strategi kita dulu mahu rampas 51 kerusi marginal Barisan Nasional (BN) tetapi kita terlepas perkara itu semasa PRU lalu.
“Sekarang cita-cita kita adalah setiap parti perlu menang 45 kerusi parlimen…saya tak fikir perkara itu mustahil untuk dicapai,” katanya semasa majlis makan malam Pakatan Rakyat di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, untuk itu DAP perlu berusaha tambah lagi tujuh kerusi, PKR lagi 15 kerusi dan PAS (24).
Pakatan Rayat semasa PRU13 lalu memperoleh 89 kerusi berbanding BN 133 kerusi; bertambah hanya tujuh kerusi dan masih mengekalkan kemenangan 2/3 majoriti BN.
Namun jika diukur berdasarkan undi popular, Pakatan Rakyat memperolehi 50.3% undi manakala BN 46.8%.
Meramalkan PRU14 sebagai cabaran paling getir, tokoh politik veteran itu mahu kerjasama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat perlu kekal dan diperkukuhkan demi memenuhi harapan rakyat yang inginkan perubahan.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu dalam ucapannya berkata, kerjasama Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan jika serius mahu ambil alih pemerintahan Putrajaya.
Usaha itu termasuk mengkaji semula dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada.
“Ini penting kalau kita mahu lihat perubahan di Malaysia melainkan kita mahu jadi pembangkang seumur hidup.
“Jika Pakatan kuat dan maju, Insyaallah Putrajaya sedang melambai kita,” katanya yang turut berterima kasih kepada rakan kongsi Pakatan yang membantu PAS menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab