Pages

Monday, November 11, 2013

Pemuda PAS gesa Majlis Raja-Raja campur tangan



KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan sudah tiba masanya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja campur tangan di atas kesedaran bahawa keresahan rakyat sedang memuncak ekoran pembunuhan yang sering berlaku kebelakangan ini. 

Sehubungan itu, Ketuanya, Nasrudin Hassan merakamkan rasa sedih dan kesal dengan kejadian tembak bunuh ke atas Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Rafli Abdul Malek petang semalam. 

Katanya, kejadian dahsyat ini yang berlaku di kediaman Allahyarham, disaksikan pula oleh ahli keluarga almarhum merupakan satu lagi bukti bahawa insiden jenayah berat khususnya yang melibatkan senjata api semakin tidak terkawal dan telah menjadi lebih menggerunkan.

“Dengan rentetan kes jenayah tembak dan culik sejak kebelakangan ini, maka apakah Malaysia kita ini masih aman?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Katanya, Pemuda PAS tegas mengutuk insiden pembunuhan itu sebagai satu tindakan keji tidak berperikemanusiaan dan mendesak agar Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan kepimpinan tertinggi PDRM tidak berdiam diri dan memberi respons segera terhadap kejadian itu.

Katanya, kedamaian dan keamanan  awam telah terancam dan hakikatnya, tidak ada mana-mana individu atau keluarga yang kini boleh terlepas dari jangkauan perilaku jenayah. 

Baginya, apa sahaja statistik dan indeks jenayah yang diangkat pemerintah untuk melukis gambaran-gambaran indah mengenai kesentosaan suasana cumalah angka kosong yang jauh dari realiti.

“Cukuplah dengan sandiwara ini! Rakyat telah jemu dan kini rakyat sedang hidup dalam kebimbangan.

“Saya merasakan sudah tiba masanya untuk Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja campur tangan di dalam perkara ini di atas kesedaran bahawa keresahan rakyat sedang memuncak,” ujarnya lagi. 

Katanya, kesimpulan pemerintah dan PDRM mengenai situasi jenayah di dalam negara sudah menjadi bahan politik semata-mata dan tidak boleh dipercayai lagi. 

“Maka suatu penilaian jujur diperlukan yang hanya boleh dicapai menerusi campur tangan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Tambahnya, selagi mana situasi jenayah ini tidak diperjelaskan secara jujur, maka selama itulah kita akan terus terperangkap di dalam polemik debat tidak berkesudahan dan penyelesaian yang jitu tidak dapat dicapai.

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab