Pages

Tuesday, November 12, 2013

Rodziah nafi peruntukan RM800 juta lesap

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor menafikan wujudnya penyelewengan peruntukan kebajikan rakyat bagi membantu golongan miskin, sebaliknya dana itu diagihkan melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Rodziah Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM800 juta untuk kebajikan, 30 peratus daripadanya disalurkan kepada projek MES.
Antaranya program Jom Shopping bagi warga emas dan ibu tunggal, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR), Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang, termasuk bekalan air percuma 20meter padu.
Perbelanjaan prasarana itu diperuntukkan dalam tempoh empat tahun (satu penggal) bagi setiap program.
“Sehingga 31 Ogos lalu, 1.6 juta rakyat Selangor dapat manfaatnya dan kita ada rekod data ke mana wang itu disalurkan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui FMT.

Beliau turut menafikan peruntukan itu ‘lesap’ selepas disalurkan melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan kerajaan negeri melaksanakan program.
Sebaliknya, NGO diberi bantuan melalui tabung geran RM100,000 untuk bergerak.
“Kadang kala kerajaan kalau nak buat sesuatu projek perlu bergantung dengan NGO untuk melaksanakan program, contohnya  Anti Pemerdagangan Manusia yang membanteras aktiviti pemerdagangan orang di Selangor dan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) bagi individu yang teraniaya.
“Kalau nak tubuhkan agensi sendiri untuk mengatasi sesuatu isu memerlukan kos yang banyak jadi kerjasama itu dijalankan. Tapi kita tak pernah bagi jumlah RM30 juta begitu besar sekaligus kepada mereka seperti yang didakwa,” katanya.
FMT sebelum ini melaporkan Rodziah mengambil sikap membisu terhadap dakwaan sejumlah RM30 juta yang diperuntukkan melalui NGO bagi program kebajikan tidak sampai kepada rakyat.
“Tiada apa yang disembunyikan. Saya bersedia bagi apa saja maklumat yang diperlukan sebab kita mengamalkan Kebebasan Bermaklumat (FOI) dalam ‘good governance’.
“Maklumat boleh didapati dalam sistem maklumat ‘workfare’ bagaimana dan kemana peruntukan itu pergi ,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, kerajaan negeri kini tidak lagi mensasarkan ‘kemiskinan sifar’ sebaliknya mahu semua rakyat mencapai tahap mampu menjana pendapatan sewajarnya iaitu melebihi garis kemiskinan RM1,500 yang ditetapkan kerajaan negeri.
Mensasarkan golongan miskin dan berpendapatan sederhana rendah, mana-mana berpendapatan isi rumah RM3,000 kebawah layak mendapat bantuan.
“Sebab tu nampak bilangan kemiskinan macma tinggi sebab kita dah naikkan garis kemiskinan
“Maknanya kita bukan sekadar hanya bagi duit tapi mahu bantu rakyat Selangor jana pendapatan dan dari sudut hak asasinya setakat ini 20% daripada usaha kita berjaya,” katanya.
Berbeza dengan Pusat, Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menetapkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) bagi setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia adalah RM720 sebagai ‘miskin’ dan RM430 sebagai ‘miskin tegar’.
Manakala di Sarawak RM830 sebagai ‘miskin’ dan RM520 sebagai ‘miskin tegar’; dan di Sabah pula RM960 (miskin) dan RM540 (miskin tegar).

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab