Apabila Nurin Jazlin binti Jazimin keluar rumah menuju ke kedai membeli klip rambut pada malam 20 Ogos 2007, anak perempuan berusia 8 tahun ini pasti tidak menyangka itu adalah hari-hari terakhir untuknya. Nurin hanya dijumpai dalam keadaan menyayat hati di dalam beg sukan pada pagi 17 September 2007.
Negara menjadi hangat dengan kes Nurin. Nurin adalah anak kita. Ia adalah sebahagian dari kita. Maka pelbagai langkah kesedaran mengenai keselamtan kanak-kanak diwujudkan oleh agensi kerajaan dan badan NGO.
Apabila Datuk Shaharuddin Ibrahim Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia keluar rumah bersiap ke pejabat beliau di Putrajaya pada pagi 26 April 2013, keluarganya juga pasti tidak menyangka itu adalah pagi yang terakhir. Datuk Sharuddin juga adalah sebahagian dari kita. Seorang suami kepada isteri, ayah kepada anak-anaknya, dan seorang penjawat awam yang menjaga kepentingan negara.
Itu juga yang berlaku kepada Puan Norazita Abu Talib, pegawai AmBank yang ditembak semasa bertugas oleh pegawai keselamatan bank sendiri. Kes terbaru ialah Haji Raffli bin Abdul Malek Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang yang ditembak ketika sedang berehat di rumahnya.
Mereka adalah ibu, ayah, suami, isteri, rakan sekerja dan sebahagian dari kita. Penulis tertarik dengan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Baharom yang mengumumkan akan membekalkan senjata api kepada pegawai penguatkuasa agama. Walaupun Jakim diberitakan sedang mengkaji cadangan itu, exco Terengganu, Pengerusi Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas Ghazali Taib sudah pun mengumumkan akan membekalkan senjata api kepada pegawainya dan menyeru negeri lain mengambil tindakan yang sama.
Persoalannya adakah ini jawapan kepada masalah yang berlaku? Justeru perlukah pegawai-pegawai bank pula selepas ini dibekalkan senjata api? Guru-guru disiplin di sekolah yang kadang kala diugut oleh pelajar yang terlibat dengan jenayah dan kongsi gelap, perlukah mereka dibekalkan senjata api dengan hujah yang sama? Pekerja-pekerja kiosk 24 jam seperti Seven Eleven yang sering menjadi sasaran penjenayah, perlukah mereka juga dibekalkan dengan senjata api?
Apakah penghujungnya?
Apa pula jaminan senjata api yang dibekalkan kepada mereka ini dapat dijaga dengan baik dan tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab? Sedangkan pihak polis yang sememangnya terlatih dalam senjata api dan keselamatan pun boleh hilang sebanyak 44 pucuk pistol, 133 gari dan 29 kenderaan polis? Ini berdasarkan laporan Ketua Audit Negara terbaru.
Adakah suatu hari nanti rakyat perlu dilengkapkan dengan senjata api untuk masing-masing menjaga keselamtan diri dan keluarga?
Jika masih berlaku jenayah tembak menembak, adakah pegawai agama akan dibekalkan dengan baju kalis peluru pula?
Kita perlu bertindak dengan teliti dan memikirkan kesan tindakan kita pada masa akan datang. Tanpa menafikan mungkin ada keperluan untuk pegawai agama membawa senjata api, kita perlu berbincang punca masalah senjata api ini semakin kerap berlaku. Senjata api dilihat terlalu accesible kepada orang awam. Mengapa? Siapa yang patut dipertanggungjawabkan? Jika ia diseludup dari jiran, adakah kerana kawalan sempadan terlalu longgar. Kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor bahawa faktor kelemahan pemeriksaan di kawasan sempadan punca penyeludupan senjata api semakin berleluasa.
Pihak menteri jangan mudah membuat keputusan terburu-buru tanpa kajian yang mendalam dari pihak berwajib. Penyelesaian masalah perlu dilihat pada punca masalah itu berlaku. Ia tidak harus berlaku secara terburu-buru. Penyelesaian juga harus bersifat jangka panjang.
Dr Mohd Fahmi Ahmad
Kumpulan Profesional Johor (GAPHOR)
No comments:
Post a Comment
Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab