SHAH ALAM – Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali mengingatkan Kerajaan Negeri tindakan mengurangkan belanjawan bagi pembangunan seolah-olah menghukum rakyat.
Azmin yang juga merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) berkata, tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengurangkan peruntukan kepada agensi untuk tujuan pembangunan dalam Belanjawan 2014 dibentangkan semalam adalah tidak berpatutan.
Difahamkan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM624,919,790 untuk pembangunan dalam belanjawan kali ini berbanding RM633,019,310 tahun lalu.
Azmin berkata, beliau secara dasarnya memahami langkah tersebut diambil oleh Abdul Khalid kerana mahu agensi mencapai prestasi.
“Saya memahami gesaan kerajaan negeri supaya setiap agensi capai prestasi mereka iaitu agensi perlu guna sepenuhnya peruntukan.
“Menteri Besar hukum mana-mana agensi tak capai prestasi dengan mengurangkan bajet tetapi kita tak setuju kerana kita boleh pantau supaya agensi dapat capai prestasi. Kurangkan peruntukan menghukum rakyat di bawah,” katanya ketika ditemui selepas Pembentangan Belanjawan Negeri 2014 di Sidang Dun, semalam.
Azmin berkata, peruntukan disalurkan berdasarkan keperluan agensi dan Kerajaan Negeri perlu memantau secara dekat supaya penggunaannya berhemat.
Menurutnya, walaupun terdapat pengurangan belanjawan tetapi beliau memuji langkah Abdul Khalid menggunakan rizab negeri RM430 juta buat kali pertama.
Katanya, beliau tidak menolak tindakan menggunakan rizab tersebut adalah hasil daripada memorandum dibangkitkan BBC baru-baru ini antaranya menyentuh mengenai pembangunan di Selangor.
“Kali ini ada pengurangan belanjawan untuk pembangunan tetapi kita perlu lihat menyeluruh kerana buat pertama kali rizab digunakan dengan telus dan berhemah.
“Bagi saya kita akan bincang dalam perbahasan kerana kemungkinan RM430 juta itu hasil kita bangkitkan dalam BBC. Walaupun ada pengurangan tetapi kerajaan negeri bersedia guna RM430 juta, maka jumlahnya lebih besar daripada bajet lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab