• Profesor Tan Sri Dr Abdul Shukor HusinAbdul Shukor Husin
 1 / 1 
SHAH ALAM – Perbuatan mencela pemimpin kerana tidak berpuas hati dengan keputusan  atau tindakan kerajaan, tidak boleh dipandang remeh kerana ia akan menimbulkan fitnah, kekacauan serta mengganggu kestabilan sesebuah negara.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, Islam membenarkan setiap rakyat untuk menasihati pemimpin, namun tanggungjawab  tersebut perlu dilakukan mengikut adab dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Menurutnya, jika itu tidak berlaku, pergolakan akan mula dirasai di negara ini kerana sikap hormat-menghormati semakin terhakis terutama terhadap golongan ulama dan umara.


“Hanya kerana pandangan atau hukum yang dikeluarkan tidak memenuhi kehendak golongan tertentu, mereka diperlekeh.

“Justeru Muzakarah Khas MKI yang bersidang semalam (kelmarin) memandang serius dan amat kecewa apabila ulama dilempar  dengan kata-kata kesat berikutan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, sikap tersebut semakin menjadi-jadi seolah-olah menjadi trend dan budaya masyarakat Islam di Malaysia sejak akhir-akhir ini.

“Kita tidak mahu pergolakan dan pertumpahan darah yang berlaku di sesetengah negara berlaku di negara kita.

“Muzakarah meminta seluruh umat Islam supaya sentiasa menjaga keharmonian dan kedaulatan negara kerana Islam mewajibkan seluruh umat Islam agar bersatu dengan mentaati ALLAH, Rasul, dan pemimpin yang dilantik secara sah oleh rakyat,” katanya.

Tambahnya, Muzakarah Khas turut menyokong tindakan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam menangani isu penggunaan kalimah ALLAH.

“Tindakan serbuan yang dilakukan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan titah Tuanku Sultan Selangor, serta buku-buku yang dirampas tidak perlu dipulangkan.

“Oleh itu, muzakarah kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mempolemikkan isu-isu sensitif seperti tindakan  Jais dalam menguatkuasakan fatwa penggunaan kalimah ALLAH dan menjadikan agama sebagai
umpan politik,” katanya.