Pages

Wednesday, January 15, 2014

Kerja lebih masa boleh tambah stres

  • Mohd KhalidMohd Khalid
 1 / 1 
KENAIKAN harga barang sudah semestinya memberi kesan kos sara hidup rakyat yang sedia ada tinggi terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar menjadi lebih berganda.

Meskipun trend membuat kerja sambilan ini sudah lama, namun tekanannya makin terasa akibat pendapatan yang tidak sama naik dengan peningkatan harga barang semasa.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan berkata, kerja lebih masa dalam jangka yang panjang bukan hanya boleh mengakibatkan kualiti kesihatan menurun disebabkan stres dalam masa sama boleh memberi kesan kepada sistem kekeluargaan.


“Mungkin masyarakat melihat positif kepada individu yang bekerja lebih masa dan kita kata dia rajin dan cekal untuk tampung kehidupan keluarganya. Tetapi kita tidak lihat, dari sudut kesihatan apa yang akan berlaku kepada mereka dalam jangka masa yang panjang?

“Apabila bekerja lebih masa dan badan akan rasa penat dan apabila pulang ke rumah pula, bimbang anak pula jadi mangsa kemarahan dan lepas geram,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dibuat di Eropah ke atas 6, 170 pekerja yang pada awalnya tidak mempunyai sebarang penyakit untuk bekerja lebih masa selama tiga jam setiap hari dan 11 tahun kemudian mendapati 400 daripada mereka sama ada meninggal dunia atau mempunyai penyakit jantung.

“Kajian itu menunjukkan sama ada mereka ini mati, terkena strok dan meninggal atau strok tetapi tidak meninggal. Ini adalah satu persekitaran tidak sihat yang perlu dikaji kesannya terhadap kesihatan dan sosial,” katanya.

Kerja lebih masa akan membuatkan sistem dalam badan kita terjejas dan mengakibatkan pelbagai penyakit antaranya jantung, strok, asma, sakit mental dan sebagainya.

“Apabila kita berdepan stres, apa yang ditakuti sistem peredaran darah kita akan terganggu dan hal ini membuatkan kita terdedah kepada penyakit yang merbahaya dan boleh membawa maut jika tidak ditangani segera.

“Stres pula adalah satu keadaan di mana ia memerlukan masa dan teknik yang betul untuk mengubatinya. Ia akan kembali berulang jika tekanan berterusan tanpa penyelesaian yang dapat meringankan tanggungan terhadap emosi dan kesihatan tubuh badan,” katanya.

Katanya, kerja lebih masa atau sambilan selain kerja utama sesuai dilakukan sekali sekala sahaja dalam tempoh tertentu tetapi jika berterusan ia akan mengundang kondisi tidak sihat bukan sahaja terhadap tahap kesihatan tetapi juga mutu kerja.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya akan meneruskan perjuangan dalam memberi cadangan supaya pelaksanaan pemberian elaun sara hidup (Cola) sebanyak RM300 kepada pekerja swasta dapat sedikit sebanyak meringankan beban akibat kenaikan harga dan kos sara hidup yang meningkat kini.

Setakat ini jelasnya, masih belum menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu.

“Cadangan pemberian Cola sebanyak RM300 ini satu perkara baik yang patut difikirkan kerajaan dan majikan mengenai kesan positif terhadap kesejahteraan sosial dan kami, MTUC akan terus berjuang membawa perkara ini ke depan,” katanya

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab