Pages

Friday, January 24, 2014

Saifuddin: Kerajaan patut kaji semula MEB

  • Datuk Saifuddin AbdullahDatuk Saifuddin Abdullah
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mengkaji semula Model Ekonomi Baru (MEB) bagi merangkumi tindakan jelas dalam usaha untuk mencapai ekonomi terangkum.  

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Moderat Global, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, walaupun keterangkuman adalah satu daripada prinsip yang diutarakan MEB, tiada penjelasan khusus diberikan, tidak seperti dua lagi prinsip untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dan ekonomi mampan.

Beliau berkata, walaupun objektif menjadi negara berpendapatan tinggi di bawah MEB berjalan lancar setakat ini, perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai prinsip keterangkuman.

"Atas alasan itu, saya berpendapat adalah elok jika Perdana Menteri boleh melancarkan semula MEB, khusus mengenai keterangkuman kerana dalam dokumen (sekarang) tidak ada perkara mengenai kaum, agama dan 40 peratus penduduk miskin dibincangkan," katanya di Persidangan Pandangan Strategik Malaysia 2014 oleh Asli di sini hari ini.

Saifuddin adalah seorang daripada ahli panel pada sesi bertajuk 'Politik Baharu Malaysia: Apa Selepas PU13 dan Pemilihan Parti'.  

MEB diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac 2010, dengan matlamat utama untuk merubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Saifuddin berkata, dasar pembangunan dan ekonomi Malaysia juga perlu berubah daripada dasar berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan.

Menyentuh isu lain, beliau berkata, selepas PU13, Barisan Nasional dan pembangkang perlu lebih terbabit dalam pendekatan politik dwipartisan.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk membawa wacana politik ke peringkat lebih tinggi dan perbincangan ikhlas serta rundingan antara pemimpin wajar diadakan.

"Saya ingin melihat kerajaan dan Pakatan Rakyat duduk dan berbincang mengenai isu lebih penting yang menjejaskan negara, seperti pendidikan dan kos sara hidup.  

Seorang lagi ahli panel, bekas Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu pula berpendapat kerajaan perlu lebih pandai 'menjual' agenda transformasi ekonomi kepada rakyat dan kekurangan pengetahuan menyebabkan mereka tidak menyokongnya.

Menurutnya, kekurangan strategi jelas juga boleh menghalang pencapaian matlamat kerajaan.

Dengan memberi contoh Talent Corp, yang diwujudkan untuk menarik rakyat Malaysia pulang bekerja di negara ini, Ping Sieu berkata ia gagal untuk merangka apakah industri untuk golongan berkemahiran tinggi itu membabitkan diri.

Beliau juga berpendapat agenda ekonomi dan transformasi kerajaan hanya boleh betul-betul berjaya melalui transformasi politik. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab