• Anwar IbrahimAnwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADLI ZAKI
 1 / 1 
KAJANG - Calon PKR bagi PRK Dun Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap meneruskan kempen walaupun polis sedang melakukan siasatan terhadapnya di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, beliau bertegas tindakannya menganjurkan kempen tidak menyalahi sebarang akta pilihan raya.

“Kalau polis nak siasat pun siasatlah, lagipun pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof cakap tidak salah dari segi akta pilihan raya.

“Saya ucap terima kasih kepada polis kerana program ini tidak diganggu,” katanya dalam ucapan di Kompleks Penghulu Batu 10, Jalan Cheras, Kajang malam kelmarin.

Anwar berkata, kesediaannya memberikan kerjasama kepada polis dan menegaskan program yang diadakan merupakan satu sesi penerangan kepada penduduk Kajang.

“Ini adalah sesi penerangan bertujuan menjelaskan tentang beberapa isu kepada orang Kajang dan bukannya kempen seperti yang didakwa.

“Tapi tak apa, orang Kedah kata lali dah. Biarlah mereka hendak cakap apa pun,” katanya.

Dalam nada berseloroh, beliau juga berkata akan menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung siasatan tersebut.

“Nanti saya akan hantar surat kepada Menteri Dalam Negeri dan tanya kenapa mereka sibuk sangat nak siasat perkara ini," katanya.