Pages

Thursday, February 20, 2014

Menang, kalah bukan ukuran

  • Johari Abu BakarJohari Abu Bakar
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU – Dun Kajang disifatkan bukan medan ukur untuk menentukan sama ada BN mampu merampas kembali Selangor atau sebaliknya pada PRU14.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Terengganu, Johari Abu Bakar berkata, sama ada calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang atau tidak di Dun Kajang pada 23 Mac ini, ia bukanlah penanda aras BN sudah tidak mampu lagi menundukkan pihak lawan pada pilihan raya akan datang.

Malah katanya, harapan BN merampas Selangor tidak akan terkubur jika Anwar menjadi wakil rakyat di Kajang kerana yakin BN sudah tentu mempunyai strategi tersendiri, apatah lagi Dun Kajang merupakan medan politik yang menggambarkan krisis kepimpinan PKR.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang adalah untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR dan untuk mengalih pandangan rakyat terhadap krisis dalam parti itu. Jadi, kalau calon mereka menang pun, ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur.

“Bagi BN, sudah tentu kita mempunyai strategi dan persiapan untuk merampas kembali Selangor,” katanya.

Beliau menjelaskan, rakyat sudah tentu bijak menilai pentadbiran PR di Selangor yang banyak kelemahan di samping dilihat tidak begitu prihatin terhadap nasib Melayu.

Beliau berkata, jika orang Melayu masih tidak sedar, berkemungkinan akan berlaku masalah dalam menentukan hala tuju agama, bangsa dan negara.

Berhubung kempen PRK kali ini, beliau menjelaskan, BN mempunyai peluang yang baik untuk menang memandangkan PR mengalami krisis dalaman membabitkan hubungan sama ada dalam PKR atau sesama parti dalam PR yang dilihat mula goyah
dan tidak sependapat antara satu sama lain.

Begitu juga dengan sikap Anwar katanya, ramai pihak sudah mula menyedari ‘tembelang’ Anwar yang memperlihatkan sikap mementingkan diri sendiri.

“Berhubung isu menteri besar, sebenarnya Anwar hanya mahu mencari populariti supaya diwujudkan laluan kepadanya. Lagipun Anwar tidak mendapat tempat di kalangan Melayu dalam ceramah dia, sebaliknya lebih kepada kelompok Cina. Pas pun sudah bosan dengan beliau terutama ulama dalam Pas.

“Ini menunjukkan hala tuju PR tidak berkesudahan. Kita harap berlaku perubahan dalam PRK kali ini, begitu juga dalam PRU14,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab