Oleh Hafiz Ahmad
Baru-baru ini iklim politik Malaysia ‘panas’ dengan peletakan jawatan mengejut Adun Kajang Lee Chin Cheh. PKR mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi menghadapi pilihanraya kecil Dun Kajang.
Ternyata langkah politik ini mengejutkan rakan politik PKR dalam Pakatan Rakyat, PAS dan DAP.
Bermacam-macam komen mengecam tindakan PKR yang disifatkan sebagai membazir duit rakyat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mengadakan pilihan raya kecil yang sudah tentu melibatkan jumlah wang yang banyak.
Tanpa merujuk pimpinan PAS pusat, tindakan PKR ini menerima kecaman beberapa kerat golongan “kopiah putih” dalam PAS yang sememangnya menunggu untuk menghentam PKR dan Anwar Ibrahim.
Kritikan paling keras datangnya dari Ketua Penerangan Dewan Ulama, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengatakan PKR telah khianat undi rakyat.
Ustaz yang baru sahaja dapat anugerah Datuk dari Sultan Pahang begitu galak menyerang PKR dengan berbagai-bagai kecaman keras walaupun semasa sidang media pengumuman calon dihadiri pimpinan eksekutif tertinggi PAS seperti Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Dr Hatta Ramli.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga menyokong penuh pencalonan Anwar Ibrahim dalam PRK Kajang.
Tidak ketinggalan menyertai siri kecaman terhadap PKR dan Anwar Ibrahim ialah seorang lagi golongan “kopiah putih” yang juga bekas Pemuda PAS Pusat Nasruddin Tantawi yang mengatakan ini satu kegilaan yang dicipta PKR.
PKR berada dalam situasi politik yang sukar ketika ini dan mengharapkan sokongan dari rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat.
Disaat ramai pemimpin bukan “kopiah putih” dalam PAS menyokong tanpa berbelah bahagi kepada PKR, tiba-tiba golongan “kopiah putih” begitu panas hati dan terus mengecam PKR.
Malahan DAP juga menyokong penuh tindakan politik PKR di Kajang walaupun pada mulanya juga terkejut tapi DAP tidak menghentam seperti golongan “kopiah putih”.
Golongan “kopiah putih” yang majoritinya golongan Ustaz ini patut malu dengan golongan kafir DAP yang menyokong rakan disaat susah dan senang.
Akhlak yang ditunjukkan golongan kafir DAP lebih Islamik dari akhlak golongan “kopiah putih” ini.
Tikam belakang
Malah golongan yang mendakwa PKR khianat ini juga mengugut mahu jawatan Menteri Besar diberikan kepada PAS memandangkan PAS mempunyai bilangan kerusi yang lebih berbanding PKR tanpa menyentuh perbuatan khianat tikam belakang kawan geng “kopiah putih” yang meletakkan calon di DUN Kota Damansara.
Ugutan ini amat dikesali disaat rakan berada dalam kesusahan tetapi jawatan MB yang didambakan.
Politik buruk golongan ini bukan sahaja mengenai PKR Kajang tapi ramai pemimpin PAS yang jujur juga menjadi mangsa politik buruk ini.
Lihat sahaja macam mana Naib Presiden PAS yang menang iaitu Husam Musa dipinggirkan di Kelantan malah diturunkan pangkat dari Timbalan Pesuruhjaya 2 ke Timbalan Pesuruhjaya 3.
Adalah pelik Naib Presiden yang menang dalam pemilihan parti tempatnya diganti dengan individu yang kalah. Ini satu penghinaan terhadap jawatan yang dipilih secara demokratik.
Saya tidak pasti adakah ini cara pemilihan jawatan parti Islam. Saya secara peribadi berasa simpati nasib yang menimpa Husam Musa.
Mat Sabu juga pernah menjadi mangsa golongan “kopiah putih” yang mengaku pendokong ulama semasa beliau bertanding mengekalkan jawatan Timbalan Presiden sehingga beliau mengeluh pemilihan sesi ini yang paling teruk pernah beliau alami.
Label Syiah dan Liberal jadi peluru untuk menyerang individu tertentu yang dilihat bukan pro-ulama.
Selamat maju jaya kepada Pakatan Rakyat yang akan bertanding dalam PRK Kajang nanti. Diharap tidak ada sebarang sabotaj dalaman dari kem Pakatan Rakyat yang akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat mengekalkan kerusi DUN Kajang.
No comments:
Post a Comment
Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab