Pages

Monday, February 24, 2014

Rakyat Selangor Pemalas Punca Masalah Air


Sepatutnya rakyat Selangor tidak menyalahkan Pakatan Rakyat bila berlaku masalah bekalan air di negeri tersebut.  Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2012 menunjukkan bekalan air di Selangor cukup sehingga tahun 2019.

Makna kata disitu, Pakatan Rakyat telah menjalankan kajian dan sememangnya bekalan air untuk negeri tersebut cukup dan terjamin pada setiap masa.  Cuma kita tak janji air yang cukup ini datang dari paip ataupun lori tangki yang disediakan.

Kajian itu menunjukkan air cukup, dari mana sumber tidak penting.

Rakyat Selangor juga tidak boleh menyalahkan Syabas, kerana kerajaan Selangor ada kepentingan melebihi 30% dalam Syabas.  Benar, kepentingan terbesar dimiliki orang UMNO, Tan Sri Rozali Ismail, tapi Rozali pun adalah boneka kepada Tan Sri Muhammad Mohd Taib - kini ahli PAS.

Pendek kata, Syabas adalah milik Muhammad Taib dengan Rozali sebagai boneka sahaja, sama seperti Daim membonekakan Halim Saad dalam Renong dahulu. Menyalahkan Syabas, samalah seperti menyalahkan Pakatan Rakyat juga.

Yang jadi masalah bekalan air di Selangor sekarang ialah kerana rakyat negeri tersebut tidak boleh menguruskan bekalan air mereka secara berhemah.  Mentang-mentang kerajaan Selangor memberikan subsidi air percuma (20m3), air dibazirkan dengan sewenang-wenangnya.

Air memang cukup, kemarau dan cuaca panas yang melanda negara sekarang tidak langsung mengurangkan jumlah air di Selangor kerana kajian yang disebutkan di atas mengatakan, apa pun terjadi, air memang cukup di negeri itu.

Selain itu, rakyat Selangor juga tidak ada kreativiti untuk mendapatkan sumber air, selain dari yang disediakan Syabas.  

Cuba lihat di Kelantan, dimana rakyat negeri tersebut telah bertahun-tahun dihantui masalah bekalan air akibat kengkangan kewangan lanjutan kerajaan persekutuan yang enggan memberikan pinjaman mudah kali kedua.

Rakyat di negeri itu, berusaha mencari air sendiri dengan mendapatkan sumber dari air bawah tanah.  Mereka sanggup membeli pam untuk menyedut air dari bawah bagi kegunaan sehari-harian.

Walaupun kebersihan air ini boleh dipertikaikan kerana tidak dirawat dengan sempurna, tapi itu bukan masalah kerana air bukan semata-mata nak diminum, tapi lebih banyak digunakan untuk kegunaan lain seperti mandi, membasuh dan sebagainya.

Semua aktiviti ini tidak memerlukan bekalan air itu bersih pun.

Berbanding rakyat Selangor, sikap pemalas yang diwarisi sejak zaman pemerintahan UMNO, telah menjadikan mereka hilang sentuhan seperti mana rakyat Kelantan.  

Disamping itu, bilangan rumah pangsa, kondominuim dan sebagainya yang banyak berbanding Kelantan juga menjadikan rakyat Selangor terus mengalami masalah air kerana malas nak turun ke bawah untuk mendapatkan bekalan dari lori tangki yang disediakan Syabas.

Jadi kenapa nak salahkan kerajaan negeri atau Syabas yang dimiliki kerajaan Selangor?  Bukan kita tidak bantu, sudah bantu, tapi kalau rakyat sendiri tidak mahu nak membantu diri sendiri, apa daya kita lagi?