Pages
▼
Friday, May 2, 2014
Kerajaan BN tidak mesra pekerja
KUALA LUMPUR: Dasar kerajaan BN yang tidak "mesra pekerja" mengakibatkan nasib golongan pekerja seperti 'telur di hujung tanduk' apatah lagi mereka tidak bersatu di bawah satu kesatuan.
Menurut Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Anuar Tahir, walaupun negara mempunyai beberapa kesatuan sekerja seperti MTUC dan Cuepacs, namun golongan pekerja terbesar di sektor industri dan elektronik masih dinafikan hak berpersatuan.
Menurut Anuar, di samping peruntukan undang-undang yang tidak propekerja, pekerja yang berpendapatan rendah juga dihimpit masalah sosial dan ekonomi.
"Hari Pekerja tahun ini disambut dengan ketidakselesaan dengan kos hidup yang melambung tinggi, sama ada di desa atau kota.
"Kerajaan pula seperti berlepas tangan daripada mengawal harga barang berikutan kenaikan bahan api dan pengurangan subsidi untuk barangan asas seperti gula.
"Kerajaan juga gagal melaksanakan gaji minima dan gagal memberikan bantuan yang efektif kepada rakyat iaitu pemberian elaun sara hidup (Cola) dalam keadaan kehidupan rakyat sebegini," katanya dalam sesi wawancara dengan Harakah.
Menurut Anuar, pemberian wang secara sekaligus (one off) melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebenarnya tidak banyak membantu pekerja berpendapatan rendah.
Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan kes-kes pembuangan pekerja yang berlaku secara berwewenang mutakhir ini.
"Sekarang golongan pekerja boleh dibuang sewenang-wenangnya. Di negeri Perlis, sebuah IPT ditutup dan pekerjanya dibuang begitu sahaja. Saya difahamkan ada di antara mereka yang jual capati untuk menyara hidup. Itu IPT milik kerajaan negeri," kesal beliau.
Anuar turut menyentuh isu perpindahan guru atas sebab politik yang menurutnya hanya berlaku di zaman penjajah.
"Ini tindakan yang dilakukan golongan kolonial pada masa lalu. Penjajah kolonial menakut-nakutkan pekerja dan rakyat dengan tindakan menukar atau memberhentikan pekerja.
"Negara merdeka seperti Malaysia yang diamanahkan Allah oleh pemerintah untuk menjaga rakyat, sekarang ini buat perangai macam penjajah. Harapkan pagar, pagar makan padi nampaknya!" tegas beliau.
Beliau turut menyeru kesatuan sekerja agar bangkit memperjuangkan hak pekerja khususnya dalam isu membabitkan inflasi, kenaikan kos sara hidup dan merudumnya kuasa beli rakyat.
Anuar juga menyarankan MTUC, Cuepecs serta mana-mana persatuan yang tidak bergabung di bawah dua kesatuan ini untuk segera melakukan sidang puncak atau perundingan meja bulat bagi menangani isu-isu golongan pekerja.