Pages

Friday, May 9, 2014

Penganalisis: Orang Islam pun tak faham hudud

  • Hudud
 1 / 1 
SHAH ALAM – Pelaksanaan hukum hudud terus menjadi perdebatan ekoran mendapat tentangan daripada sebilangan masyarakat bukan Islam.

Namun menurut penganalisis, hukum hudud ini bukan saja tidak difahami masyarakat bukan Islam, sebaliknya, kefahaman dalam kalangan masyarakat Islam sendiri begitu rendah.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata, orang awam hanya diberi pemahaman dari segi hukum teras hudud sahaja tanpa penjelasan terperinci.

“Orang awam tidak faham kerana mereka hanya difahamkan dengan hukum-hukum terasnya sahaja. Yang mereka faham, curi potong tangan, zina kena baling batu. Itu saja mereka tahu. Tapi kaedahnya, saksi dan sebagainya itu mereka tak faham.

“Kerana itu, perlu diberikan penjelasan yang terperinci kepada masyarakat umum baik yang beragama Islam mahupun yang bukan. Orang Islam pun tak faham, apatah lagi orang bukan Islam. Jadi, penjelasan daripada pelbagai sudut perlu diberi mengenai hukum hudud,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Ketua Kluster Perpaduan Nasional MPN, Prof Dr Mansor Mohd Noor yang turut senada berkata, orang awam hanya melihat hudud itu dari sudut hukuman tanpa melihat proses yang perlu dilalui sebelum hukuman dijatuhkan.

“Bukan saja masyarakat bukan Islam, orang Islam pun tak ada ilmu tentang hukum hudud ini. Apabila mereka dengar hudud saja, mereka faham satu. Potong tangan, rejam batu. Mereka nampak hukuman. Padahal Islam ini agama nasihat. Hukuman itu kita panggil cara terakhir.

“Bagi saya, untuk orang mencuri pun, ada proses rentetannya. Bukannya orang mencuri terus potong tangan. Ada proses dia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau melihat golongan ulama dan badan perundangan termasuk kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan rakyat memahami kandungan hudud yang sebenarnya.

“Para ulama dan badan perundangan perlu bergabung. Banyakkan perbincangan... wacana sehingga rakyat faham. Kalau dah faham, barulah rakyat terima. Kini, isu hudud telah memecah-belahkan masyarakat.

“Sekarang ini kerajaan dan Pas... apabila kamu sudah berbicara tentang perkara ini, kamu perlu banyakkan program yang memberi penjelasan, kefahaman dan perbincangan tentang hudud,” katanya.

Sementara Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPN, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak pula mengakui hukum hudud itu begitu kompleks untuk difahami termasuk proses pelaksanaannya.

“Memang sangat kompleks. Seperti yang berlaku kepada Brunei, kita dapat lihat selebriti dan tokoh terkenal daripada Amerika membantah pelaksanaan hudud. Melalui laporan media asing pula, nampak sangat ada jurang kefahaman dari segi dalam masyarakat Islam dan lebih-lebih lagi masyarakat bukan Islam.

“Sebab itu, perkara ini mesti diselesaikan dulu. Berikan kefahaman dulu. Ada pihak yang berasa bahawa pelaksanaan hukum ini akan menyebabkan mereka terjejas dalam apa jua bentuk. Kalau kita tak beri penjelasan, maka akan terus wujud kekeliruan,” katanya.