Pages

Monday, May 5, 2014

PR boleh pecah jika tiada kawalan

  • Analisis Berita
 1 / 1 
SHAH ALAM - PR bakal  berdepan risiko berlaku perpecahan antara parti komponennya jika rang undang-undang hudud diluluskan di Parlimen untuk dilaksanakan di Kelantan.

Pensyarah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid bagaimanapun berkata jika ia mampu ditangani dengan baik, mungkin perkara itu dapat dielakkan.

“Saya yakin DAP yang dilihat tidak setuju dengan hudud sebab mereka masih tidak faham mengenai dasar pelaksanaan undang-undang itu.


“Mungkin Pas khususnya perlu memberikan penerangan secara terperinci kepada mereka. Tapi apabila ia dilaksanakan, saya yakin semua pihak akan membuka mata kerana undang-undang hudud adil untuk semua,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, sikap sesetengah pihak yang berkeras menolak hudud berlaku kerana mereka tidak banyak membaca berkenaan undang-undang tersebut sehingga timbul kekeliruan.

“Orang kita hanya baca dalam akhbar, tengok sahaja dalam televisyen, mana cukup. Kita sendiri pun jika tidak mendalaminya tidak akan tahu bagaimana pelaksanaan hudud itu sendiri.

“Hudud tidak akan menganiaya sesiapa pun, sebarang tindakan turut melalui proses perbicaraannya seperti yang dilaksanakan di mahkamah sekarang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Mohd Noor selain memberi kesan kepada PR, negara turut menerima impaknya apabila rang undang-undang hudud berjaya mendapat kelulusan di Parlimen.

“Jika diluluskan di Parlimen yang akhirnya membolehkan Kelantan melaksanakan undang-undang itu, ia akan memberikan kesan positif dari semua pihak.

“Di sini pula kerajaan perlu memainkan peranan membantu pelaksanaan hudud dengan baik melalui penerangan ke semua peringkat supaya tidak ada lagi yang keliru,” kata beliau.

Pada 9 April lalu Kelantan umumkan akan bawa usul rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf dan memerlukan sedikit penambahbaikan dan pandangan pakar perundangan.