Pages

Monday, May 12, 2014

Presiden PAS iringi Ramkarpal bersebab - Mujahid




GEORGE TOWN: Padang Kota Lama seawal jam 7.30 pagi tadi mula dibanjiri lebih 500 penyokong Pakatan Rakyat bagi mengiringi calon DAP, Ramkarpal Singh Deo A/L Karpal Singh ke Pusat Penamaan Calon yang dilangsungkan di Dewan Seri Pinang.

Mereka melaungkan "Reformasi", "Ubah", "I Am Karpal", "Hidup Pakatan, Tumbang Bebas" dan "hancur GST, Tumbang BN".

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri mengetuai PAS mengiringi Ramkarpal, bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail masuk ke pusat penamaan calon pada detik 9.06 pagi.

Hadir sama, Dr Hatta Mohd. Ramli (Ketua Pengarah Pilihan raya PAS), Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, Azmin Mohd. Ali (Timbalan Presiden PKR) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (AJK PAS Pusat merangkap Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang), Shaari Sungib (Adun PAS bagi Kawasan Hulu Kelang), Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong) antara yang hadir di sini.

"Semua ahli PAS, khususnya di Pulau Pinang dikerah berhimpun di sini bersama Tuan Guru Presiden bersebab, kerana Haji Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) telahpun menyebut bahawa Ramkarpal adalah 'calon PAS' juga, walaupun tanding guna bendera roket DAP saja.

"Kemenangan Ramkarpal penting untuk melengkapkan jalan kemenangan PAS bersama Pakatan di negeri ini dan pilihan raya umum nanti," jelas Mujahid yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gelugor, sebentar tadi.

Di bawah kendalian Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Bukit Gelugor, Kapten (B), Anuar Yahya, pengundian membabitkan 82,431 pemilih berdaftar dari Daftar Pemilih Induk (DPI).

Dari jumlah itu, 82,255 adalah pengundi biasa, manakala, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir luar negara.

Seramai 1,095 petugas pilihan raya turut dilantik untuk menguruskan proses pilihan raya kali ini, termasuk 21 pusat mengundi.

PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya berhampiran Gua Tempurung, Ipoh pada 17 April lepas. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 21 Mei manakala penamaan calon pada 12 Mei. 

Pada PRU13 lalu, mendiang Karpal Singh yang mendapat 55,839 undi memenangi kerusi itu dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memungut 13,597 undi.