Pages

Friday, July 11, 2014

Pengemis: Agihan kekayaan negara masih tempang


RAKYAT seringkali diingatkan agar menunaikan zakat dan ia satu kewajiban. Namun sejauh mana institusi zakat berperanan dalam meleraikan masalah kemiskinan di negara ini? Mutakhir ini ramai asnaf yang merungut karenah birokrasi Baitulmal meyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan. Bagi merungkai persoalan ini, wartawan Harakah, HAZAYANI ZAKARIA pada 3 Julai lalu mendapatkan pandangan bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamudden Md Taib yang pernah berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara. 

HARAKAH: Sejak sekian lama kita melihat kemiskinan di negara ini khasnya di ibu kota tidak selesai. Malah ada umat Islam yang terpaksa murtad hanya kerana mahu dapatkan bantuan dari gereja yang lebih mudah memberi bantuan berbanding pusat zakat atau Baitulmal. Boleh ustaz ulas lanjut?

TAIB AZAMUDDEN: Perkara ini tidak sewajarnya berlaku sebab saudara baru termasuk salah satu daripada lapan asnaf zakat. Sepatutnya mereka itu dikenal pasti dan dibiayai zakat. Banyak negeri yang berjaya mengutip zakat yang sangat tinggi tetapi zakat yang dikutip itu seolah-olah tersimpan begitu sahaja. Di Wilayah Persekutuan Pusat Zakat nya membuka sebuah kedai sewaktu Allahyarham Tan Sri Syeikh Mohsen Salleh  menjadi pengerusi.Terdapat Pasaraya Baitulmal. Pasaraya ini antaranya memberi peluang kepada fakir miskin untuk mendapat bekalan yang disahkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. 

Contohnya Jabatan Agama Islam Wilayah mengeluarkan kupon, mereka membawa kupon itu ke Pasaraya Baitulmal, mereka dapat membuat tukaran dengan barang yang diperlukan. Tetapi sekarang pasaraya itu sudah tiada. Pasaraya Baitulmal wilayah dahulu ada di Sentul dan di Selayang. Selepas peninggalannya, pasaraya ini sudah tiada lagi.Kenapa itu tak diterjemahkan? Pasaraya Baitulmal itu wujud dahulu daripada kedai 1Malaysia yang menawarkan harga murah. Ini yang memberi peruntukan dan kemudahan yang khusus kepada fakir miskin yang disahkan oleh pihak yang berwajib.

Saya mencadangkan supaya institusi ini diperkasakan secara lebih luas supaya asnaf boleh menerima zakat secara berpanjangan seperti institusi yang bersaham. Zakat dijanakan supaya lebih besar, akhir sekali fakir miskin dan orang yang berhak dalam asnaf tadi mempunyai sahamnya di situ. Itu pun boleh dikaji untuk dibuat. Saya juga cadangkan orang yang duduk dalam asnaf dapat insentif seperti insentif Orang Kurang Upaya (OKU). Mungkin untuk bil elektrik, bil air atau apa-apa yang lain dikecualikan sebab apabila mereka ini disahkan sebagai orang yang berada dalam asnaf oleh pihak yang bertanggungjawab. Kalau kita letak mereka sebagai fakir miskin contohnya di Wilayah Persekutuan tetapi orang berkenaan kena bayar bil elektrik, air sama juga. Kenapa kerajaan tidak boleh menyediakan insentif? Itu sebagai salah satu daripada cara pengagihan.

Dilemma pelajar Melayu Islam terpaksa berhutang untuk belajar, walaupun golongan menuntut ilmu adalah asnaf, kerajaan buat PTTN pula untuk berniaga dengan rakyat walhal zakat yang dikumpulkan boleh membantu pelajar? 

Bukan sahaja kutipan zakat itu yang diberi penekanan tetapi pengagihan itu hendaklah disemak semula supaya asnaf zakat dapat menerima hak mereka. Contohnya zakat kepada pelajar. Sepatutnya yang menjadi asnaf pelajar itu sendiri, bukan ibu bapa mereka. Yang penting mereka ini disahkan pelajar, dan menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan pelajaran. 

Bagi saya suatu yang sangat pelik apabila pengagihan zakat sekarang ini di sesetengah negeri khasnya asnaf Fisabilillah (pelajar atau menuntut ilmu termasuk asnaf) ini yang dilihat adalah rekod ibu bapanya. Kadang-kadang ada ibu bapa yang dikategorikan sebagai orang yang bergaji agak selesa,  maka dinafikan hak anak untuk mendapat zakat walaupun anak menghadapi masalah kewangan hingga terpaksa berhutang untuk belajar. Bagi saya ia perlu disemak semula.

Pelajar-pelajar sekarang ini dikenakan riba oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tetapi dalam masa yang sama wang zakat yang banyak tidak diterjemahkan untuk membantu pelajar hingga mereka berhutang untuk belajar. Ada alasan kononnya pekerjaan ibu bapa, namun ramai di kalangan pelajar Melayu yang dari latar belakang miskin juga terpaksa meminjam PTPTN. Kenapa perkara itu tidak boleh dikaji semula dengan zakat memainkan peranan membantu?

Apa komen ustaz mengenai kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketatkan?

TAIB AZAMUDDEN: Sekarang kerajaan memburu pengemis dan yang memberi sedekah juga akan diambil tindakan dengan saman di bawah Akta Orang Papa 1997 (Akta 183). Di pihak zakat akta ini harus dilihat sama ada ia masih sesuai atau sebaliknya. Kalau perkara lain kita boleh pastikan mengapa tidak dipastikan golongan fakir miskin khasnya pengemis untuk dibantu melepasi ruang kemiskinannya itu. Dalam isu peminta sedekah yang dikatakan digunakan oleh ejen, namun sebenarnya ia satu kegagalan kerajaan memburu ejen yang mengeksploitasi pengemis. Bukan masalah dari sudut orang melihat orang yang memberi sedekah kepada peminta sedekah tetapi dari satu sudut lain ialah orang bersedekah kerana mereka memiliki harta yang lebih, dan ia digalakkan oleh Islam apatah lagi dalam bulan Ramadan. 

Kalau orang berasa bahawa dia ikhlas nak bagi, apa salahnya dia nak bagi? Yang penting, nak cegah pengemis pastikan pengagihan wang negara saksama. Apabila masih ada lagi pengemis, maknanya pengagihan kekayaan negara masih lagi tempang. 

Apakah perlunya perubahan dalam pengurusan zakat di negara ini? 

Pada saya, sudah sampai masa untuk dilakukan perubahan pentadbiran dan pengurusan zakat negeri-negeri. Ada sesetengah negeri, pendapatan zakatnya sedikit tetapi fakir miskin ramai. Ada negeri di Malaysia ini pendapatan zakatnya cukup banyak tapi miskinnya sedikit seperti di Wilayah Persekutuan jika hendak banding dengan Kedah dan Perlis, dua negeri utara Semenanjung itu pendapatan zakatnya sedikit tetapi yang fakir miskin ramai.

Pada saya, tidak boleh ditentukan bahawa pungutan zakat Wilayah Persekutuan ini hanya hanya untuk orang di Wilayah Persekutuan sahaja. Kalau orang di Wilayah Persekutuan tidak ada, maka dalam asnaf itu nak bagi kepada siapa? Kalau yang ini pun kita tidak boleh satukan bermakna kita tak boleh mengaku kita ni sebuah negara persekutuan sebab dalam persekutuan, dalam bab-bab lain kita boleh satukan tapi dalam hal zakat kita pecah-pecahkan. Seolah-olah kalau Perlis, Perlis tanggung sendiri kesusahan, Kelantan tanggung sendiri, Kedah tanggung sendiri, Terengganu tanggung sendiri. Tidak ada kesepaduan dalam erti kata persekutuan. 

Kadar kemiskinan setiap negeri berbeza.Sebagai contoh di Kedah, pendapatan RM3,000 ke atas sebulan, itu tidak termasuk dalam golongan miskin kerana kos hidup rendah daripada Wilayah Persekutuan. Tetapi di Wilayah Persekutuan berpendapatan RM3,000 masih termasuk dalam miskin kerana kos hidup yang tinggi. Kadar kemiskinan ini juga perlu diambil kira. Nisab zakat tidak statik tetapi sentiasa berubah mengikut masa. Apakah hanya zakat fitrah sahaja kita perlu tentukan harga, sedangkan kelayakan asnaf tidak diambil kira. 

Saya juga terpanggil untuk mempersoalkan tentang perbezaan kadar zakat fitrah bagi 14 buah negeri. Seolah-olah Islam  di Malaysia ini tidak satu. Islam di negeri-negeri lain berbeza sedangkan harga beras boleh disatukan di seluruh negara oleh kementerian Hal Ehwal Pengguna tetapi dari segi zakat berbeza. Kadar bayaran zakat yang dinyatakan di Kedah tidak boleh diterima pakai di Selangor. Ini menunjukkan Islam di Malaysia tidak sepadu dari segi pelaksanaan.

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab