Pages

Monday, August 11, 2014

PAS Nafi Tajuk Mstar Akan Terima Khalid Masuk Parti Itu


Laporan berita yang berkait dengan YAB Menteri Besar Kelantan merangkap Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) di bawah tajuk 'PAS Pelawa Abdul Khalid Keahlian PAS' sebagaimana yang dilaporkan oleh portal online mstar adalah tidak tepat sama sekali. Laporan akhbar tersebut boleh dirujuk di: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/08/10/pas-terima-khalid/

Perenggan kedua laporan mstar yang menyatakan 'Menteri Besar Kelantan memberitahu pintu keahlian PAS sentiasa terbuka untuk Abdul Khalid yang dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari Sabtu kerana masalah disiplin' dengan disebut sedutan ucapan beliau yang berbunyi "terpulanglah kepada beliau jika ingin menyertai PAS selepas ini kerana telah dipecat PKR" adalah tidak benar sama-sekali.
Sebaliknya YAB Pemangku Ketua DUPP hanya menyatakan "itu kita tidak boleh nak komen, itu hak dia" apabila ditanya tentang masa depan politik Tan Sri Khalid selepas ini. Dalam menjawab soalan kepada wartawan pada tengah hari tadi di Perdana Resort ketika menghadiri majlis hari raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) beliau hanya menekankan agar masyarakat dan ahli PAS bertenang supaya dapat mewujudkan suasana terbaik dalam kemelut yang melanda Selangor dan ujarnya "DUPP sendiri kembali kepada tarikh mesyuarat PAS Pusat yang akan berlangsung pada 17 Ogos 2014 nanti dan kita tunggu apa yang diputuskan nanti" ujar beliau lagi "apa yang berlaku di Selangor kini adalah satu 'exercise' bagi membina kematangan berpolitik".

Beliau yang juga anggota Majlis Syura Ulamak PAS (MSU) menegaskan bahawa ahli PAS perlu menghormati MSU yang merupakan badan tertinggi parti dan sentiasa memantau perjalanan PAS agar seiring dengan dasar dan prinsip PAS.

Beliau juga menyatakan bahawa Dewan Ulamak PAS Pusat tidak pernah membincangkan tentang urusan pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagaimana yang tersiar dalam berita headline TV3 pada jam 8 malam tadi. Apa yang dinyatakan ialah perbincangan tentang hal tersebut akan dibincang dalam mesyuarat PAS Pusat dan MSU telah membincangkan hal ini, boleh jadi mereka yang melaporkan tersebut keliru antara Dewan Ulamak dan Majlis Syura Ulamak.

Bertarikh 14 Syawal 1435/10 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab