Pages

Saturday, September 20, 2014

Anwar rugi besar jika Adun Pas dilantik MB

  • Nik Ahmad Kamal Nik MahmodNik Ahmad Kamal Nik Mahmod
 1 / 1 
SHAH ALAM - Strategi mengangkat isteri sendiri menjadi menteri besar mungkin gagal, malah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengalami kerugian besar jika Adun dari Pas dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu sekali gus mengetepikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal PKR.

Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, kredibiliti Anwar tercalar selepas beberapa kali ditegur Istana Selangor berhubung isu tersebut.

“Kuasa melantik menteri besar bukan di tangan Anwar, ia terletak di tangan Sultan. Apatah lagi dia sendiri tidak tidak mengikut arahan sultan supaya hantar lebih dua nama untuk calon.


“Apabila diberi amaran oleh istana supaya tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pelantikan menteri besar baharu, semakin terjejaslah kredibiliti Anwar sebagai ahli politik dan sebagai Ketua Umum PKR khususnya. Besar kemungkinan dia sudah tidak dipercayai lagi oleh kebanyakan pemimpin dalam PR,” katanya,
semalam.

Kelmarin, Istana Selangor mengingatkan Anwar agar tidak membuat kenyataan mengelirukan masyarakat atau menjejaskan imej Sultan Selangor dalam isu calon menteri besar.

Menurut Atory, tindakan Anwar yang menghantar satu nama calon tunggal bagi jawatan menteri besar jelas menunjukkan kedegilan ketua umum itu untuk merampas jawatan berkenaan dari legasi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kalau kita lihat, istana pun seakan bermain tarik tali selepas enggan mengumumkan nama menteri besar.

“Dalam hal ini, Anwar rugi besar kerana jika istana mahu Abdul Khalid kekal atau jika istana mahu Adun Pas jadi menteri besar, semakin rugilah Anwar dan bonus buat Pas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, kredibiliti Anwar tercalar di mata sultan, namun namanya dalam PR utuh kerana beliau mempunyai sokongan dari penyokong tegarnya.

“Mungkin selepas ini Sultan Selangor enggan percaya Anwar. Isu ini membuatkan pergeseran dalaman antara Pas dan PKR semakin teruk dan ia hanya dapat diselesaikan jika menteri besar baharu dilantik dalam masa terdekat.

“Masa depan Pas bersama PR terletak di tangan sultan bagi menyelesaikan konflik ini dengan segera, jika menteri besar baharu dilantik, maka konflik antara mereka selesai,” katanya.

Pihaknya tidak menolak berlaku perpecahan antara Pas dan PR jika menteri besar baharu dilantik di kalangan Adun Pas.

“Pasti berlaku perpecahan kerana jika menteri besar baharu adalah Adun Pas, ia bukan seperti yang dimahukan PKR dan DAP, maka tidak mustahil dan mungkin selepas ini Pas akan bergerak sendiri.

“Tapi perkara ini agak mustahil selepas Presidennya, Datuk Seri Badul Hadi Awang berikrar untuk terus bekerjasama dengan PKR dan DAP,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab