Pages

Thursday, September 25, 2014

Exco: PAS Sudah Serah Nama Kepada MB


KUALA LUMPUR: PAS sudah menyerahkan senarai nama calon exco mereka kepada Menteri Besar Selangor, untuk dipersembahkan kepada Sultan yang dijadual hari ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah memilih nama tersebut selepas PAS Selangor menyerahkan mandat membuat pilihan kepada PAS Pusat.

"Pihak Presiden PAS sudah serahkan nama-nama tersebut kepada Menteri Besar malam tadi," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama calon-calon terbabit.

Ditanya sama ada terdapat muka baru dalam senarai calon tersebut, Mustafa berkata beliau yakin tidak ada perubahan besar berlaku.

"Saya tiada masalah jika keempat-empat exco kita sebelum ini dikekalkan," ujarnya.

Empat exco PAS sebelum ini adalah Iskandar A Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Sallehen Muhyi.

Mengulas desakan beberapa pihak yang mahu kuota exco PAS dikurangkan ekoran kemelut perlantikan menteri besar sebelum ini, Mustafa menyifatkan pihak terbabit sebagai 'tidak faham Pakatan'.

"Dia tak faham. Tidak mengapa lah. Kita sudah serah kepada menteri besar," tegasnya lagi. 

Sementara itu, PAS Selangor semalam turut bertegas akan mempertahankan komposisi empat orang exconya dalam pentadbiran Selangor.

Pesuruhjayanya Iskandar A Samad berkata adalah tidak patut meminta PAS yang mendapat 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk mengurangkan kuota empat orang exconya.

"Kita pertahan (empat orang Exco). Itu jelas," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat PAS Selangor malam tadi.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dijangka menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini untuk mengemukakan nama 10 orang exco negeri. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab