Pages

Saturday, September 20, 2014

Tanggungjawab saya bantu kempen – TG Nik Aziz


TUMPAT: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan beliau hadir berkempen membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan selagi terdaya.

Mursyidul Am PAS berkata, beliau perlu memikul tanggungjawab tersebut biar pun agak keuzuran sekarang semata-mata bagi memenangkan perjuangan Islam.

“Kita tidak boleh duduk diam sahaja, mesti ambil tanggungjawab untuk teruskan dakwah sampai akhir usia,” katanya pada ceramah umum di Pantai Geting malam tadi.

Biar pun Pengkalan Kubor dimenangi Umno sejak tiga penggal lalu namun kehadiran malam tadi melimpah sehingga kelihatan sendat di hadapan pentas utama.

Cuaca yang terang tanpa hujan sebagaimana kelazimannya kebelakangan ini di Pengkalan Kubor membuatkan pantai Geting yang terkenal sebagai tempat festival wau antarabangsa Kelantan dihadiri begitu ramai penduduk tempatan.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, Pengerusi Majlis Pimpinan PRK Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Ketua Cabang PKR Tumpat, Shaharun Ibrahim.

Sebelum ini ada pihak mendakwa PAS memperalatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi meraih simpati pengundi di Pengkalan Kubor.

Mursyidul Am PAS juga berkata,  ceramah umum tersebut merupakan kemunculan pertama beliau sejak pilihan raya umum tahun lepas disebabkan keuzuran.

“Selepas lebih setahun tidak lagi menjadi Menteri Besar, inilah kali pertama saya muncul di pentas ceramah umum,” katanya.

Beliau turut hairan bagaimana ada pihak yang cuba memperbodohkan rakyat Kelantan dengan mengatakan negeri ini tidak  membangun di bawah teraju PAS.

Menurutnya mengapa hendak sibukkan sangat tentang pembangunan sedangkan semua kerajaan termasuk ditadbir parti Komunis melaksanakan tanggungjawab pembangunan kepada rakyat.

Beliau juga memperingatkan pengundi di Pengkalan Kubor hendaklah mengundi kerana Allah pada 25 September ini kerana ia akan disoalkan di akhirat kelak kalau silap dibuat pilihan.

“Hendak mengundi kena ingat molek di akhirat kelak kita akan disoal oleh malaikat. Sebab itulah tidak kira kita ada pangkat apa sekali pun akan berdepan dengan soalan di akhirat kelak terhadap apa yang kita buat di dunia sekarang,” katanya. - HARAKAHDAILY 20/9/2014

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab