Friday, October 11, 2013

Dedah kandungan TPPA, biar rakyat nilai


KUALA LUMPUR: PAS mengesa agar kerajaan mendedahkan isi kandungan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) agar ia dapat diteliti oleh rakyat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika berucap pada himpunan bantah TPPA di hadapan Masjid Al-Syakirin, KLCC hari ini mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil serius dengan desakan rakyat agar menolak TPPA.

"Kita berada di sini sebagai mewakili rakyat Malaysia untuk menentang perjanjian TPPA dan seterusnya menentang pelaksanaannya di negara ini.

"Kita gesa agar kerajaan di bawah kepimpinan Najib membuat pendedahan kesemua perjanjian dan ini penting untuk rakyat teliti serta mengetahui apa kandungan mahupun muslihat disebaliknya," ucap beliau.

Beliau turut melahirkan kekesalan apabila pimpinan Umno terus berdiam diri dalam soal TPPA walaupun ia secara langsung dilihat mengugat ekonomi negara.

"Saya tidak tahu sama ada pemimpin Umno ini sedar atau tidak, mahupun takut untuk bersuara sehinggakan tidak ada sepatah pun keluar dari mulut mereka bercakap tentang TPPA.

"Umno bercakap soal maruah negara, ekonomi tetapi dalam soal ini mereka membisu tanpa sebarang desakan walaupun untuk mengetahui isi kandungan perjanjian," jelas beliau

Tambah beliau lagi, pimpinan Umno perlu mengambil ruang sempena dengan perhimpunan agung mereka nanti untuk mengesa presiden mereka membatalkan hasrat untuk mengikut serta dalam pelaksanaan TPPA.

Salahuddin turut meminta kerajaan menyediakan satu kertas putih mengenai perjanjian serta dibahaskan segala apa kandungan di dalamnya.

"Kita nak lihat kertas putih mengenai perjanjian TPPA, kita nak tengok segala kelemahan yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

"Ini hak yang perlu rakyat ketahui, apa jua kelemahan mahupun muslihat sulit dalam perjanjian tersebut kita ingin teliti serta bahaskan," sambung beliau.

Salahuddin juga memberitahu isu TPPA bukannya isu satu pihak sahaja tetapi melibatkan keseluruhan rakyat Malaysia, dan perkara ini perlu ditentang habis-habisan agar kedaulatan serta ekonomi negara terjamin.

Sementara itu, Pakar Ekonomi PAS Dr Rosli Yaakob meminta agar Najib meninggalkan segera meja rundingan TPPA dan menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap Amerika Syarikat untuk menolak terus pelaksanaan tersebut.

Himpunan yang dianjur oleh Badan Bertindak Bantah TPP (Bantah) hari ini bermula di hadapan Masjid Al-Syakirin selepas solat Jumaat sebelum berarak dan berhimpun di hadapan KLCC.

Himpunan aman itu telah disertai hampir 700 orang dari pelbagai latar belakang termasuk wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik.

No comments: