Saturday, October 12, 2013

Demo Lesu: Cari Punca Dan Penyelesaian

Aku agak kesal dengan jumlah kehadiran orang ramai yang sedikit dalam sekurang-kurangnya 2 demonstrasi anjuran Pakatan Rakyat baru-baru ini.  Ironinya, kedua-duanya tentang TPPA.

Tak pasti apa sebenarnya yang sedang berlaku.  Sepatutnya selepas kenaikan harga minyak, rakyat akan lebih kritikal kepada kerajaan dan menyertai apa jua demonstrasi menentang kerajaan yang diadakan Pakatan Rakyat.

Itu bagaimanapun tidak berlaku.

Contohnya demonstrasi yang diadakan Pakatan Rakyat di depan masjid As Syakirin, KLCC semalam yang hanya dihadiri sekitar 100 orang (laporan Malaysiakini).  Harakah cuba menaikkan sedikit semangat dengan mengatakan 700 orang hadir.

Malah dalam laporan Harakah versi online mengenai himpunan tersebut semalam, akhbar tersebut memasukkan sekali gambar dari himpunan Bersih (atau HKR) tahun sudah untuk menyokong jumlah kehadiran seramai 700 orang itu.

Bagaimanapun, yang betul, kita cakap yang betul sahajalah, memang tak sampai 100 orang yang hadir semalam.  Aku katakan tak sampai 100 orang sebab seorang rakan yang hadir semalam memaklumkan, Special Branch dan media saja sudah lebih dari separuh.

Persona Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri nampaknya seakan sudah pudar dan tidak lagi mampu menarik minat rakyat untuk mendengar kata-kata semangatnya.  Ceramah mengenai TPPA di Kampung Baru Khamis lepas, tidak mencapai sasaran kehadiran yang dimahukan. 


Seolah-olah PRU13 yang dulu telah menghabiskan semua baki persona yang ada dan rakyat tidak lagi berminat mendengar ceramah Anwar.

Semua ini memerlukan Pakatan Rakyat meneliti semula apa sebenarnya yang tidak kena dengan mood rakyat sekarang sehingga enggan menyertai himpunan anjuran Pakatan Rakyat.

Aku sendiri rasa rakyat seakan tidak percaya dengan Pakatan Rakyat walaupun dalam masa yang sama kemarahan rakyat terhadap Najib itu rasanya semakin bertambah berbanding dengan dulu.

Mungkinkah kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini telah diserap oleh rakyat atau keagresifan pihak polis menumpaskan penjenayah dalam Ops Cantas Khas telah menyakinkan rakyat bahawa BN mampu menjamin keselamatan negara?

No comments: