Pages

Thursday, October 10, 2013

K-Pop: Rakyat percaya Shabery atau ketua audit

KUALA LUMPUR: Penjelasan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, berhubung kontroversi dakwaan Laporan Audit Negara 2012 bahawa konsert K Pop pada tahun lepas bernilai RM 1.6 juta ditanggung oleh kerajaan memberi tamparan hebat kepada kerajaan.

Kenyataan tersebut meneguhkan lagi pendedahan awal Laporan Audit Negara 2012 bahawa sememangnya konsert K-Pop tersebut menggunakan dana kerajaan.

Sebelum ini Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, bekas Menteri Belia dan Sukan menafikan dakwaan tersebut dengan mendakwa peruntukan konsert K-Pop ditanggung menggunakan duit penaja.

Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr. Riduan Mohd Nor berkata, apa pun penafian Ahmad Shabery, kenyataan ketua audit negara lebih diyakini dan dipercayai.

"Laporan audit negara adalah laporan yang telus dan berintegriti. Jika laporan audit negara juga dipertikaikan, apakah nilainya laporan tersebut dan laporan mana pula yang boleh dipercayai," soalnya.

Menurut Riduan, Ambrin adalah pegawai kerajaan yang profesional dan melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

Beliau juga diyakini tidak terikat oleh jawatan politik, pengaruh atau kedudukan kerana beliau dilantik oleh kerajaan atas kelayakannya, bukan kerana kedudukan politiknya.

Lantaran itu beliau berani mendedahkan kepincangan demi kepincangan tanpa gentar diugut atau diambil tindakan oleh mana-mana pemimpin negara, kata Riduan.

"Inilah sifat terpuji yang perlu ada pada seorang pegawai tinggi kerajaan yang bekerja dengan jujur. Gaji yang diterima ditunaikan sebaiknya dengan begitu profesional tanpa diikat oleh tangan-tangan politik di atasnya.

"Berbeza dengan Ahmad Shabery, beliau adalah pemimpin politik dan menjadi Menteri Belia dan Sukan di era lalu. Jawapanbeliau dilihat sebagai membela dirinya serta pemimpin politik atasannya.

"Rakyat melihat jawapan Ahmad Shabery adalah jawapan berlepas diri atau selamatkan diri dari ditujah dan diserang oleh rakyat yang menuding jari kesalahan ke atasnya," ujar Riduan lagi.

Sindrom penafian demi penafian menurutnya lebih memburukkan keadaan dengan rakyat melihat bekes menteri itu sebagai orang terdesak yang mahu ‘menegakkan benang basah’.

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab