AMAT tidak bertanggungjawab! Seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal, Terengganu yang runtuh awal pagi baru-baru ini.
Insiden yang amat memalukan ini dipercayai berlaku pukul 4 pagi dan melibatkan kira-kira 40 peratus bahagian masjid itu yang telah siap dibina dua tahun lepas serta melibatkan kos RM6 juta dan boleh memuatkan 1,000 jemaah dalam satu masa.
Insiden yang amat memalukan ini dipercayai berlaku pukul 4 pagi dan melibatkan kira-kira 40 peratus bahagian masjid itu yang telah siap dibina dua tahun lepas serta melibatkan kos RM6 juta dan boleh memuatkan 1,000 jemaah dalam satu masa.
Isu keruntuhan ini bukan laporan pertama mengenai masjid bumbung runtuh di negeri ini. Pada 20 Mei lepas, 12 jemaah masjid yang baru sahaja solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu runtuh. Pada 3 Okt 2009, bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman juga runtuh menyebabkan tiga mangsa cedera.
Demikian juga, pada 2 Jun 2009, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM292.9 juta yang telah siap dibina pada Mei 2008 dan pernah digunakan dalam penganjuran Sukan Malaysia turut runtuh. Sebahagian struktur bumbung stadium berkenaan sekali lagi roboh pada 20 Februari 2013 yang menyebabkan tiga pekerja parah manakala dua lagi cedera ringan.
Inilah fenomena keruntuhan yang berlaku di negeri ‘Darul Iman’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun fenomena ini telah berlaku sejak beberapa tahun yang lepas, tidak ada langkah-langkah yang positif dan pro-aktif di ambil untuk menghalang berulangnya peristiwa-peristiwa sebegini.
Perkara ini bukan hanya di sebabkan masalah-masalah teknikal tetapi termasuk soal ‘nilai’ (values) yang di dokongi oleh pihak berkuasa dalam mengawasi dan memantau pembinaan projek-projek ini.
Pengawasan di tapak amatlah lemah dan banyak kerosakan boleh dielakkan. Profesional-profesional yang berkelayakan yang sepatutnya mengawasi kerja tidak diberi tanggungjawab dan kuasa di tapak.
Peraturan-peraturan profesional dan jabatan-jabatan kawalan ada kalanya tidak diikuti dan dipatuhi menyebabkan kelonggaran dan kerendahan faktor-faktor keselamatan dan mutu pembinaan.
Contoh-contoh keruntuhan dan kerosakan sepanjang 2 penggal pentadbiran yang ada adalah seperti disenaraikan:
1. Dewan Saidina Abu Bakar SMK Wakaf Tapai, Marang (12 April 2008, RM2 Juta).
2. Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak ( 2 Jun 2008, RM292 juta).
3. Kolam Renang Batu Burok bocor (5 Jun 2008, RM18 juta).
4. Siling Bumbung Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) tanggal (29 Jun 2008, harga terminal RM123 juta)
5. Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), Kemaman runtuh sebahagian balkoni di tingkat lapan.
6. Menara Komunikasi jalur lebar di Kampung Chegar Batang, Besut tumbang (6 Ogos 2009, RM15 juta)
7. Bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman runtuh (3 Oktober 2009, RM2.1 juta)
8. Bumbung Kaca Terminal Bas Kuala Berang (21 Disember 2009, kos RM700,000 dengan RM4.2 juta kos keseluruhan projek).
9. Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu runtuh sebahagian semasa dalam pembinaan (29 Mac 2010).
10. Pondok rehat di kawasan lanskap Pasar Besar Kedai Payang runtuh sebaik siap dibina (9 Januari 2011).
11. Papan tanda (sign board) gergasi Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu di Bukit Kor, Marang (19 Julai 2012).
12. Tangki Air Sekolah Menengah Paka (24 Julai 2012).
13. Sengkuap bumbung pentas astaka di Taman Bandar Chukai (30 Disember 2012).
14. Kerangka Stadium Sultan Mizan runtuh semasa di baik pulih (20 Februari 2013).
15. Masjid Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang (20 Mei 2013, RM1.4 juta).
Contoh klasik kegagalan mengambil pengajaran dari kesilapan yang lepas adalah keruntuhan bumbung-bumbung Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu yang telah runtuh pada tahun 2009. Walaupun setelah siasatan Jawatankuasa Penyiasatan (Investigation Committee) kerajaan yang diketuai pihak JKR serta nasihat-nasihat perunding dilakukan, namun keruntuhan kedua, bumbung kedua Stadium yang sama berlaku lagi pada awal 2013 – iaitu 4 tahun kemudian.
Persoalannya, kenapakah keruntuhan ini begitu mudah boleh berlaku di negeri Terengganu di bawah pentadbiran yang ada sedangkan beratus-ratus juta ringgit wang rakyat telah dibelanjakan?
Apakah kerana ‘kontraktor kroni’ yang tidak berwibawa langsung telah dikurniakan kontrak secara ‘know who’ dengan begitu mudah? Dan apakah ada unsur-unsur rasuah dan salahguna kuasa berlaku secara berleluasa di bawah pentadbiran yang ada ini di negeri ini?
Namun sehingga kini tidak ada yang di pelajari dari ‘siasatan’ demi ‘siasatan’ yang telah dijalankan termasuk dari pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Yang terbaru dan terkini adalah bahaya yang dihadapi dalam kerja-kerja penambakan yang sedang berjalan di muara Kuala Sungai Terengganu di Bandar Kuala Terengganu walaupun kajian Kesan Alam Sekitar dan Kajian Terperinci “Hydrologi Study” masih belum diluluskan pihak berkuasa. Kerja-kerja ini dianugerahkan kepada pemborong secara reka-bina (design and built) tanpa apa-apa tawaran terbuka di panggil.
Jelasnya, sehingga segala peraturan-peraturan sedia ada dipatuhi dan “rule of good governance” dapat di laksanakan, ‘keruntuhan’ di negeri Terengganu akan terus berlaku.
Menteri Besar serta pimpinan kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap tragedi demi tragedi keruntuhan yang amat memalukan ini. Imej rakyat dan negeri Terengganu amat tercemar akibat dari pelbagai kejadian keruntuhan berterusan yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Negeri Terengganu sekarang bukan sahaja terkenal dengan kerepok lekor, sutera dan songket, ia kini juga terkenal sebagai negeri yang bergelar ‘Darul Runtuh’.
Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu manakala Dr. Syed Azman Syed Ahmad ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok.
No comments:
Post a Comment
Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab