Wednesday, January 15, 2014

Hindari permusuhan dengan agama lain

  • Khairy JamaluddinKhairy Jamaluddin
 1 / 1 
SHAH ALAM – Mencontohi sikap dan keperibadian Rasulullah SAW terutama apabila berhadapan dengan penganut agama lain dalam pelbagai isu antara ingatan yang dilontarkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.

Khairy menyeru masyarakat Malaysia agar menghormati dan bertoleransi terhadap masyarakat bukan Islam di negara ini, seperti mana pendekatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ketika menyebarkan syiar Islam.

“Di dalam kita meraikan ulang tahun kelahiran insan teragung, Rasulullah SAW, apa yang penting adalah untuk kita meneladani ajaran dan keperibadian Baginda selaku contoh terbaik dan rahmat kepada sekalian alam.


“Sesungguhnya, sejarah telah menukilkan bahawa Baginda bukan sahaja menghormati dan bertoleransi terhadap masyarakat bukan Islam bahkan mengasihi mereka sehinggakan ramai yang terpaut dengan dakwah serta pendekatan Baginda,” katanya yang dipetik melalui laman sosial Facebook, hari ini.

Meletakkan senario itu dengan situasi semasa, Khairy menasihatkan masyarakat agar menghindari unsur permusuhan dan ketegangan terhadap agama lain.

“Lantaran itu, hindarilah unsur permusuhan dan ketegangan terhadap agama lain yang hanya akan merungkai perpaduan dan mesej dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

“Jika kita berpegang teguh dengan kesyumulan ajaran Baginda, bukan sahaja akidah terpelihara, bahkan syiar Islam juga berkembang,” ujar ahli Parlimen Rembau itu lagi.

Khairy turut mengajak masyarakat mengakui bahawa perbezaan itu adalah norma bagi masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang.

“Marilah kita mengakui bahawa sebarang perbezaan itu adalah norma bagi masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakangnya.

“Dan di dalam kita mencari titik penyelesaian bagi sebarang isu yang menguji kerukunan perpaduan, wajar sekali kita umat Islam mengambil iktibar bahawa Rasulullah SAW itu bukan sekadar diutus kepada umat Islam, tetapi juga seluruh alam.

“... dan oleh kerana itu contoh ikutan daripada Baginda bukan sekadar dalam urusan kita berkeluarga atau beragama tetapi juga bermasyarakat sesama Muslim dan bukan Muslim,” katanya.

No comments: