Wednesday, February 5, 2014

Apakah laluan Anwar menjadi PM semakin sukar?

PETALING JAYA:  Kenyataan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat  bahawa sayap PAS tersebut tidak sesekali akan menyokong jika Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat mahu menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; menimbulkan persoalan apakah laluan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri (jika Pakatan Rakyat menang pada Pilihan Raya Umum ke-14) semakin sukar?

Suhaizan berkata, pergerakan itu akan menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Bagaimanapun, tidak sesekali menyokong jika Ketua Umum PKR itu berhasrat mahu menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid.
Walaupun kenyataan Suhaizan bukanlah mewakili suara PAS Pusat tetapi kenyataan tersebut sudah pasti memberi sedikit sebanyak kesan pada imej Anwar.
Persoalan logiknya ialah jika sebelum ini Anwar dianggap sebagai calon terbaik dari Pakatan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada PRU-14, kenapa ada bantahan untuk jawatan yang lebih kecil seperti jawatan Menteri Besar Selangor.
Apakah kenyataan Pemuda PAS ini sebenarnya didorong oleh perasaan terguris mereka apabila keputusan untuk mengosongkan kerusi DUN Kajang untuk membolehkan Anwar bertanding tidak dibincang dengan kepimpinan tertinggi PAS dan DAP?
Jika Anwar menjadi Menteri Besar Selangor pun Pemuda PAS membantah, bagaimana reaksi Pemuda PAS nanti jika Anwar berhasrat menjadi Perdana Menteri?
Atau apakah Pemuda PAS merasakan Anwar seharus memberikan lebih tumpuan kepada usaha untuk mengambil alih Putrajaya pada PRU-14 dan membenarkan Khalid mentadbir Selangor?
Tetapi harus disedari dalam apa jua keadaan, peranan suara DAP tidak boleh dinafikan dan ianya juga sama penting dalam sebarang keputusan penting nanti. Sama ada Anwar ingin menjadi Menteri Besar Selangor atau Perdana Menteri (jika Pakatan Rakyat ambil alih pentadbiran Putrajaya), DAP juga mempunyai hak untuk menentukan kedudukan Anwar.
Timbul juga persoalan dan menjadi tanda tanya di kalangan ahli dan penyokong Pakatan Rakyat sendiri, apakah Pemuda PAS menyedari Khalid sebenarnya mempunyai kelemahannya tersendiri.
Khalid mungkin pakar dan gah dari segi pentadbiran ekonomi tetapi lemah dari segi taktikal dan selok belok politik.
Kalau ahli biasa tahu yang Khalid gagal dalam menangkis serangan halus Umno menerusi pegawai tinggi kerajaan negeri yang gagal ikut aspirasi dan melaksana polisi kerajaan negeri dengan baik, mana mungkin pemimpin PAS seperti Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen dari Selangor tidak sedar kelemahan berpolitik Khalid?
Apakah kepimpinan PAS mahu melihat Selangor juga terlepas ke tangan Barisan Nasional seperti terlepasnya Kedah pada PRU-13 (2013) dan Terengganu pada PRU-11 (2004)?
FMT dalam laporannya pada 18 Disember 2013 pernah melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menyeru kerajaan negeri Selangor untuk tidak mengikut ‘kegilaan’ kerajaan pusat dengan menaikkan harga kadar cukai, sewa dan lesen perniagaan.
Menurut Khalid, kerajaan negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu mengikut tindakan kerajaan pusat dan perlu mempraktikkan moto Negeri Berkebajikan yang diperkenalkan mereka.
“Kalau naikkan cukai dan lain-lain, yang terkesan adalah rakyat,” katanya.
Menurutnya, beliau telah menerima beberapa aduan dari orang ramai mengenai kenaikkan harga lesen di Selangor.
“Jika sebelum ini, peniaga-peniaga yang meletakkan meja dan kerusi di kaki lima perlu membayar RM10,000 kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk tempoh enam bulan, ada aduan mengatakan kini mereka terpaksa membayar RM20,000 untuk tempoh yang sama.
“Malah, ada kawasan yang sebelum ini tidak dikenakan caj parkir tapi kini sudah dikenakan caj,” kata Khalid (Samad) lagi.
Beliau turut menyeru kerajaan negeri untuk membelanjakan sebahagian dari rizab negeri untuk melaksanakan program-program yang menguntungkan rakyat.
Ini satu contoh yang jelas Khalid (Ibrahim) ada masalah untuk mengawal PBT.
Sedia maklum walaupun PAS mempunyai kerusi DUN yang lebih dari PKR di Selangor, PAS menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada Khalid atas prestasi Khalid mentadbir ekonomi Selangor dengan baiknya.
PRK Kajang menimbulkan banyak polemik dikalangan ahli dan penyokong Pakatan rakyat sendiri.
Banyak persoalan masih tidak ada jawapan yang jelas. Ahli dan penyokong PAS, PKR dan DAP umpamanya masih tidak faham apa rasional “Kajang move” ini.
Perbualan dan perbincangan ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dalam alam cyber seperti facebook, blog dan whatsapp, topic perbincangan sangat berkisar tentang tujuan dan rasional mengadakan PRK Kajang.

No comments: