Pages

Friday, February 14, 2014

Pemilihan jawatan MB hasil persepakatan PR

  • Mohd Nazree Mohd YunusMohd Nazree Mohd Yunus
 1 / 1 
SEREMBAN – Pemilihan pemimpin memegang kerusi menteri besar Selangor adalah berdasarkan konsep persepakatan dan konsensus antara ketiga-tiga parti PR.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, tidak timbul isu kononnya PKR bersikap tamak dalam merebut kerusi itu.

“Kita (PR) telah sepakat kerusi Menteri Besar dipegang pemimpin daripada PKR. Ianya mencapai persetujuan semua parti malah tiada pertikaian sehingga kini,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa PKR tamak dalam merebut kerusi menteri besar Selangor, semalam.

Menurutnya, Dr Mahathir perlu melihat sejarah politik BN di Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum mengkritik pembangkang.

“Pada zaman beliau (Dr Mahathir) sendiri, di Pulau Pinang di mana kerusi Umno lebih banyak daripada Gerakan tetapi Ketua Menteri dilantik daripada parti Gerakan. Kenapa beliau tak cakap Gerakan tamak merebut kerusi Ketua Menteri di Pulau Pinang?,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nazree berkata, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkempen di Dun Kajang sebaliknya hanya sekadar turun padang bertemu rakyat.

“Tidak timbul isu kempen awal kerana Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor menunaikan tanggungjawabnya turun padang menerangkan dasar dan polisi kerajaan Selangor.

“Ianya bukan satu masalah walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tempoh berkempen tetapi sebelum waktu berkempen itu adalah hak mana-mana pemimpin untuk turun padang bertemu  rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab