Tuesday, February 11, 2014

PRU Sarawak lebih awal, ramal Mahfuz

KUALA LUMPUR: PAS menjangkakan pilihan raya negeri Sarawak akan berlangsung lebih awal setelah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan.

Menurut Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar pilihan raya negeri itu yang sepatutnya diadakan pada tahun 2016 mungkin akan diawalkan sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 atau setelah persempadanan semula kawasan dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Jika ikut tempoh sepatutnya pada 2016 tetapi saya jangka ia akan lebih awal. Sama ada dalam tempoh terdekat atau penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan. Sudah tentu ia dibuat sebelum perlaksanaan GST pada 2015.

“Atau sehingga selesai proses-proses persempadan baru kawasan PRU yang akan membabitkan Sarawak,” kata Mahfuz dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS.
Beliau menambah pengunduran Taib tidak akan membantu Barisan Nasioanal (BN) untuk mengekalkan kuasa di negeri tersebut walaupun Sarawak dan Sabah sering dilabel sebagai deposit tetap BN.
“Saya tidak melihat pengunduran Taib akan beri kelegaan kepada BN. Kerana bukan Taib sahaja merupakan masalah kepada Sarawak, tetapi BN itu sendiri sudah menjadi masalah besar kepada Sarawak.
“Tanpa ada tindakan pembersihan terhadap Taib, selagi itu BN tidak boleh anggap mereka sudah boleh rasa lega dari beban yang terpaksa ditanggung ekoran dari kepimpinan Taib sendiri,” katanya lagi.
Taib sebelum ini diselubungi dengan pelbagai kes rasuah dan salah kuasa sepanjang 33 tahun mentadbir Sarawak.
Dalam pada itu, PAS yakin dapat menembusi Sarawak dengan baik pada masa akan datang setelah melihat kepada penerimaan rakyat negeri tersebut dalam pilihan raya lalu.
“Kita masuk, dan dalam tempoh tak berapa lama seperti parti-parti yang berasal dari Sarawak, tetapi tahap penerimaan kita di PRU yang lalu, calon kita tak hilang wang pertaruhan berbanding pilihan raya lepas,” katanya.
Menurutnya, PAS Sarawak kini diuruskan oleh golongan profesional seperti peguam, jurutera dan doktor yang telah mula menerima perjuangan PAS di sana.

No comments: