Monday, February 10, 2014

Sepahtu: Penyokong Pakatan Rakyat Patut Boikot ASTRO


Kemenangan kumpulan Sepahtu dalam pertandingan Maharajalawak Mega 2013 Jumaat lepas, menunjukkan bahawa sebilangan besar masyarakat Malaysia ini tidak langsung sensitif dengan penghinaan yang dilemparkan kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Dalam pertandingan tersebut, secara jelas kumpulan Sepahtu telah memperlekehkan dan menghina Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui persembahan dalam lawak mereka pada pertandingan tersebut seperti babak penjara, 'tonggeng' dan satay.

Ramai kata, yang sepatutnya menang pada hari tersebut ialah kumpulan Shiro kerana kumpulan itu lebih dekat dengan Pakatan Rakyat melalui penampilan Ustaz Azhar Idrus dalam filem yang dibintangi kumpulan tersebut berjodol "Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang".

Tapi entah dimana silapnya, Sepahtu yang pro UMNO itu juga yang menang dan kita percaya kemenangan mereka adalah atas campur tangan UMNO yang diketahui mempunyai pegangan saham agak besar dalam ASTRO (melalui syarikat proksi).

Sehubungan dengan itu, semua penyokong Pakatan Rakyat dari sekarang sudah patut memboikot ASTRO kerana nampaknya syarikat tersebut sudah menjadi alat kempen UMNO - setaraf (atau lebih teruk) dengan Utusan Malaysia.

Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi hari ini, menamatkan kos perkhidmatan ASTRO adalah jalan terbaik.  Sebagai ganti, ada lagi alternatif seperti pakej Internet TV yang ditawarkan Telekom Malaysia - hypp TV.

Murah pun murah, waktu hujan pun siaran masih cantik, taklah macam ASTRO.

Pakatan Rakyat memang menyokong kebebasan media tapi Pakatan Rakyat tidak menyokong media yang menjadi alat kepada parti-parti politik, terutama UMNO.  Harakah dan Suara Keadilan tidak boleh disamakan kerana kedua-dua akhbar tersebut adalah milik parti politik.

Berbanding dengan ASTRO yang berselindung di sebalik imej sebagai media arus perdana yang bebas dari kongkongan politik, tapi rupa-rupanya menjadi alat UMNO tanpa sesiapa sedar.

Kemenangan Sepahtu (disebalik ramalan ramai bahawa kumpulan Shiro yang akan menang) adalah bukti kepada kenyataan tersebut.  Pakatan Rakyat yakin, keputusan itu telah dimanipulasi sehingga memberi kelebihan kepada Sepahtu, bukan sebab kumpulan itu berhak menang.

Dalam masa yang sama, para peguam Pakatan Rakyat juga sedang meneliti kandungan video persembahan tersebut dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan penghinaan seperti ini tidak berterusan.

Aku menyokong disegerakan tindakan undang-undang tersebut kerana video persembahan tersebut sedang galak dimainkan di media-media sosial.  

No comments: