Monday, March 3, 2014

Penggunaan ‘bangsa’: Atas kertas dan realiti

berbilang+kaum
Isu pemansuhan atau pembuangan kategori ‘bangsa’ dalam setiap borang sedang hangat diperdebatkan ketika ini. Bagi saya yang dilahirkan dalam keluarga yang berdarah campur, saya sering kali menghadapi masalah kecil ini ketika mengisi apa sahaja borang yang mempunyai kategori bangsa.

Masalah ini timbul pertama kalinya apabila saya melangkah masuk ke alam persekolahan, saya masih teringat dahulu ketika di sekolah rendah, setiap murid dikehendaki mengisi borang peribadi untuk dijadikan rekod sekolah, namun saya tidak pernah diajar oleh ibu atau ayah saya untuk mengisi kategori bangsa seperti yang tercatat didalam setiap borang yang diedarkan di sekolah.

Ketika saya kecil, nama, tarikh lahir dan usia saya sahaja yang sering diingati. Maka ketika pertama kalau mengisi borang peribadi di sekolah, saya terpaksa membiarkan kategori ‘bangsa’ itu kosong dan menghantarnya pulang semula kepada cikgu.
Saya dipanggil ke hadapan oleh cikgu, cikgu tersebut menanyakan kepada saya, ‘mengapa kamu tidak isi bangsa kamu’?
‘Kamu Cina ke Melayu’? lalu saya memberitahu cikgu tersebut bahawa ayah saya Cina dan ibu saya Melayu, yang mana harus saya pilih? Cikgu tersebut lantas mengatakan bahawa saya perlu pulang menanyakan isu ini kepada ibu bapa saya dan beri jawapan kepadanya pada esok hari.
Sejurus pulang ke rumah, saya terus menanyakan kepada ayah dan ibu, apakah bangsa yang harus saya pilih ketika mengisi borang-borang di sekolah? Selepas perbincangan antara ayah dan ibu, mereka bersetuju untuk membenarkan saya memilih kedua-dua bangsa ketika mengisi borang.
Maka setiap kali saya mengisi mana-mana borang yang mempunyai kategori bangsa, maka saya akan menanda pada kotak Cina dan Melayu sebagai bangsa saya.
Saya pernah disoalkan mengapa saya menanda dua bangsa, maka saya menjelaskan bahawa saya berdarah kacukan dan ini merupakan jalan penyelesaian terbaik untuk saya apabila berdepan masalah sebegini.
Kacukan
Saya pasti ada segolongan berdarah kacukan menghadapi masalah seperti saya ketika zaman persekolahan mahupun sekarang.
Di Malaysia majoriti rakyat dapat dibezakan apakah bangsanya hanya melalui nama. Contohnya yang berbangsa Melayu akan mempunyai ‘bin’ atau ‘binti’ di dalam nama mereka, yang berbangsa Cina akan mempunyai nama keluarga seperti Tan, Lim dan lain-lain lagi, dan yang berbangsa India pula mempunyai a/p atau a/l di dalam nama penuh mereka.
Ini tetap akan membezakan mereka jikalau kategori bangsa dipadamkan di dalam borang-borang. Bagi kita untuk mengubah sesuatu yang sudah begitu sebati dengan kehidupan kita sejak zaman pemerintahan British adalah sesuatu yang sukar namun tidak lah mustahil.
Apa yang perlu benar-benar diubah pada waktu sekarang adalah pemikiran rakyat yang sudah sebati dengan permainan bangsa. Sejak daripada zaman sekolah lagi anak-anak sudah diperkenalkan dengan sistem perbezaan bangsa dan ini akan sedikit sebanyak mempengaruhi zaman pembesaran mereka.
Perbezaan bangsa sudah begitu sinonim dengan kita, kita sering kali menggunakan bangsa untuk merujuk kepada individu tertentu. Bak kata pepatah-pepatah yang pernah saya dengar daripada orang sekeliling adalah seperti ‘kalau tak berhutang bukan Melayu, kalau tak minum bukan India, kalau tak berjudi bukan Cina’, ‘Jual suratkhabar sahaja mesti India, jual CD sahaja mesti Cina, jual burger sahaja mesti Melayu’, ‘Yang tidak mandi pagi dan tidak basuh selepas membuang air besar dikaitkan dengan Cina, badan berbau sahaja mesti dikaitkan dengan India, yang selalu merempit sahaja dikaitkan dengan Melayu’.
Sama ada kita menerima pepatah ini sebagai jenaka mahupun kebenaran namun harus diingati pepatah seperti ini yang akan mencetus isu perkauman tanpa disedari.
Saya meminta maaf jikalau contoh-contoh yang disebut mungkin menguris perasaan mana-mana pihak, niat saya bukan untuk menguris hati namun hanya mahu mengariskan kejadian-kejadian yang berlaku di dalam kehidupan realiti di Malaysia.
Saya tidak memilih mana-mana bangsa sebagai kegemaran kerana saya juga sering menjadi mangsa perkauman, malah lebih teruk kerana saya berdarah kacukan dan saya ‘mewakili’ dua bangsa dalam contoh-contoh tersebut.
Menyinggung
Malahan saya juga pernah ditanya sama ada saya lebih suka menjadi Cina atau Melayu? Ini merupakan salah satu soalan yang menyinggung perasaan saya.
Ianya seperti menyuruh saya memilih ayah Cina saya atau ibu Melayu saya. Namun ramai yang tidak menyedari bahawa ungkapan-ungkapan sebegini menyinggung perasaan orang lain.
Ada juga yang pernah bertanya kepada saya sama ada saya jadi Cina atau Melayu ketika menggunakan tandas.
‘Kau guna air atau tisu selepas buang air besar?’, tanya kawan saya dengan tona berjenaka. Percakapan seperti ini kadang kala mampu mengundang kemarahan kepada sesetengah individu.
Seharusnya cara pemikiran kita yang harus diubah dahulu, kategori ‘bangsa’ sudah semestinya boleh dipadam dalam borang-borang Malaysia, namun dapatkah kita memadam pemikiran dan penggunaan bangsa dalam kehidupan seharian kita?
Tepuk dada tanya selera, tengok ke dalam cermin dan tanya sama ada anda mampu membawa perubahan dalam pemikiran dan percakapan anda apabila ianya berkaitan dengan bangsa?