Thursday, March 27, 2014

PR dakwa Adenan salah guna kuasa

KUALA LUMPUR - PR mengecam tindakan Kerajaan Negeri Sarawak yang menghalang beberapa pemimpin mereka daripada memasuki negeri itu untuk tujuan berkempen pada PRK Dun Balingian.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen mendakwa, kerajaan negeri telah menyalahgunakan kuasanya untuk menyekat pemimpin PR tanpa alasan munasabah.

"Sebagai rakyat Sarawak, kenapa tiga orang pemimpin PR tidak dibenarkan masuk ke sana?

"Ini salah guna kuasa dan cuba menafikan hak rakyat Malaysia bertujuan untuk memperkuatkan BN dalam mana-mana pilihan raya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut tindakan Pejabat Ketua Menteri Sarawak semalam yang melarang tiga pemimpin kanan PKR daripada memasuki Sarawak sekali gus menghalang membantu calon PKR, Abdul Jalil Bujang dalam PRK N51 Balingian, 29 Mac ini.

Antaranya ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Beliau juga mempersoalkan tindakan itu yang turut menafikan hak ahli Parlimen untuk memasuki mana-mana negeri di Malaysia.

"Bagaimana mereka boleh mewakili rakyat di Parlimen, tetapi dihalang masuk ke Parlimen," soalnya.

Sementara itu, Tian Chua mendakwa tindakan itu jelas bertentangan serta tidak mematuhi semangat demokrasi di negara ini.

"Ia jelas halang kami daripada berkempen dan itu tidak mematuhi demokrasi.

"Sepatutnya semua parti yang bertanding dibenarkan berkempen, tindakan itu bermaksud menyekat maklumat," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan sekatan itu sebagai tindakan keanak-anakan ketua menteri baharu itu.

Dakwanya sekatan itu akan menjejaskan sokongan PR dan memberi laluan mudah kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) untuk menang pada PRK N51 Balingian pada Sabtu ini.

"Tindakan politik ketinggalan zaman, lain lah kami (PR) ini bawa anasir bawah tanah, samseng dan ancam keselamatan negeri.

"Apabila setiausaha agung parti yang berdaftar secara sah pun dihalang, nyata ia salah guna kuasa," dakwanya.