Saturday, May 10, 2014

Bila lagi Najib mahu mansuh Akta Hasutan



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menunaikan janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan jika benar-benar mahu melakukan transformasi di dalam pentadbirannya.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, transformasi yang berjaya adalah memansuhkan Akta Hasutan yang telah mengikat rakyat negara ini untuk menyatakan keadilan. 

"Akta ini sebenarnya disalahgunakan oleh pemerintah demi menjaga kepentingan mereka, apatah lagi dengan membuat dakwaan terpilih," katanya kepada Harakahdaily.

Suhaizan berkata, mana-mana pihak yang pro kepada kerajaan walaupun sering kali melontarkan isu-isu sensitif termasuk perkauman, mereka tidak dikenakan tindakan.

Sebaliknya kata beliau, jika isu yang dibangkitkan Pakatan Rakyat begitu mudah kerajaan mengambil tindakan melalui menteri-menteri yang berkuasa.

"Ekstrim agam yang pro BN dibiarkan begitu sahaja, misalnya kes kepala lembu di Shah Alam disenyapkan begitu sahaja bila mereka jumpa menteri berkenaan," katanya.

Pemuda PAS kesal dengan pendakwaan terpilih kerana mendakwa mereka yang tidak sebulu dengan kerajaan menyebabkan Akta Hasutan disalahgunakan.

Jelasnya, sudah tiba masanya Najib memansuhkan akta ini yang turut disokong oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama semasa lawatan beliau ke negara baru-baru ini.

Pada 11 Julai 2012, Najib mengumumkan akan memansuhkan Akta Hasutan selepas mengadakan pertemuan dengan Pejabat Peguam Negara.

Najib kemudiaannya mengulangi janji sama pada Julai 2013 semasa temubual dengan media antarabangsa British Broadcasting Corporation (BBC) mengatakan akta tersebut akan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional. -HARAKAHDAILY 9/5/2014

Tahun lalu, Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang; aktivis PAS, Tamrin Ghafar bersama aktivis sivil, Haris Ibrahim, Adam Adli dan Safwan Anang didakwa mengikut akta tersebut.

Terbaru, mendiang Karpal Singh juga tidak terlepas daripada didakwa mengikut akta sama dan didenda RM4,000 serta berdepan dengan hukuman penjara.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, minggu ini menjadi mangsa terbaru didakwa mengikut Akta Hasutan susulan penglibatannya dalam klip video berjudul "Onederful Malaysia" pada Februari lalu.