Friday, May 9, 2014

Hudud: MCA Boleh (Keluar BN), Kenapa PAS Tidak (Keluar PR)?


Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong secara berterus terang mengugut untuk membawa parti tersebut keluar dari BN jika UMNO berdegil menyokong draf perlaksanaan hudud di Kelantan yang akan dibentangkan PAS dalam sesi parlimen akan datang.

Untuk rekod, kalau itu berlaku, ia bukan kali pertama kerana MCA pernah keluar dari BN sekali semasa peristiwa berdarah 13 Mei 1969 - yang ulang tahun ke 45nya akan kita sambut tidak beberapa hari sahaja lagi.

Menariknya, parti yang hanya mempunyai 7 kerusi di Parlimen itu pun berani mengugut UMNO (88 kerusi parlimen) untuk keluar dari BN kalau UMNO tidak berganjak dari keputusan menyokong hudud Kelantan, kenapa PAS yang jauh lebih banyak kerusi parlimen dari MCA, tidak keluar sahaja dari Pakatan Rakyat jika berkeras nak melaksanakan hudud?


Adakah kerana MCA parti yang lebih tinggi kredebilitinya berbanding dengan PAS, atau sememangnya PAS tidak yakin 21 kerusi parlimen yang mereka ada sekarang tidak mungkin mampu diperolehi kalau bukan kerana sokongan Pakatan Rakyat?

Mungkin fakta ini ada kebenarannya kerana mengikut kajian, PAS hampir pasti kalah di 8 buah kerusi parlimen dan 13 buah DUN di seluruh negara kalau tidak kerana sokongan pengundi cina yang bernaung dibawah PKR atau DAP - lebih banyak di bawah DAP.

Pakatan Rakyat telah berjumpa dengan beberapa ahli Parlimen PAS yang sepatutnya kalah dalam PRU13 yang lepas tapi menang kerana dukungan dan sokongan pengundi cina dan mereka telah menyatakan pendirian tidak akan menyokong draf hudud yang dicadangkan untuk Kelantan.

Menurut mereka, sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan pengundi cina kepada mereka adalah jauh lebih penting dari taat setia mereka kepada PAS dan Islam.  

Yang pasti, tanpa sokongan semua ahli parlimen ini (lebih 8 orang, separuh bergelar Datuk), hampir pasti PAS tidak akan berjaya melaksanakan hudud di Kelantan walaupun disokong oleh UMNO.

Walaupun tindakan ini akan menyebabkan ada dikalangan ahli parlimen ini yang dipulau atau dipecat keahlian mereka dari PAS, tapi itu tidak menjadi masalah kerana DAP dan PKR bersedia menerima mereka pada bila-bila masa.

Justeru, PAS perlu lebih berani menyatakan pendirian sebenar mereka dalam Pakatan Rakyat.  Ayat-ayat yang mengiyakan tidak, menafi pun tidak ini, kita tak mahu dengar lagi dah.