Wednesday, May 7, 2014

Rejam Gay: PR Gesa Najib Terima Homoseksual Brunei


Pakatan Rakyat semalam, bersama-sama dengan komuniti antarabangsa yang lain, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Brunei menjatuhkan hukuman rejam sampai mati ke atas golongan homoseksual dibawah undang-undang hudud negara itu yang berkuatkuasa 1 Mei lepas.

Selain tidak selaras dengan konsep hak asasi manusia antarabangsa, hukuman rejam dengan batu ini juga dikatakan tidak terdapat dalam Al-Quran.

Walaupun banyak pihak percaya hukuman rejam dilaksanakan semasa Nabi Muhammad saw masih hidup, tapi menurut pembacaan dan kajian ringkas, didapati hukuman rejam ini hanya diperkenalkan pada zaman pemerintahan Saidina Umar - khalifah kedua Islam selepas Saidina Abu Bakar.

Hukuman ini bagaimanapun telah menjadikan semua pengamal homoseksual di Brunei hidup dalam keadaan yang merbahaya.  Dianggarkan Brunei mempunyai seramai 1,000 hingga 3,000 orang pengamal homoseksual berdasarkan data yang disediakan oleh laman web GlobalGayz.com.

Tidak hairanlah kenapa golongan selebriti Hollywood (tidak kira gay atau tidak) telah sepakat untuk memboikot semua hotel yang dimiliki oleh kesultanan Brunei di Amerika Syarikat dan Eropah lanjutan dari pengenalan hukuman tersebut.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga bercadang untuk mengikuti jejak langkah serupa tapi perkara tersebut masih diperhalusi sebelum boleh dilaksanakan

Dalam masa yang sama, atas nama hak asasi manusia, Pakatan Rakyat menggesa pentadbiran Najib Tun Razak agar menerima semua pengamal homoseksual Brunei yang ingin berhijrah keluar dari negara tersebut bagi mengelak dari direjam sampai mati.  

Sumber Pakatan Rakyat di negara tersebut telah menerima banyak permintaan dari golongan tersebut yang mahu permohonan mereka untuk menukar kerakyatan dipermudahkan.

Malaysia, walaupun mempunyai sistem perundangan yang turut mendiskriminasi pengamal homoseksual, tapi tidaklah sampai ke tahap merejam dengan batu sehingga mati.

Lagipun, rekod perundangan menunjukkan, undang-undang anti homoseksual di Malaysia hanya terhad kepada hubungan seks yang terjadi dengan paksaan, bukan hubungan seks yang dilakukan secara suka sama suka akibat kesukaran untuk mendapatkan bukti.