Pages

Wednesday, August 13, 2014

PAS Tarik Diri Kalau Kerajaan Perpaduan Wujud di Selangor

  • Abdul Khalid ketika memaklumkan kedudukanya sebagai Menteri Besar Selangor semasa sidang media selepas beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, kelmarin.Abdul Khalid ketika memaklumkan kedudukanya sebagai Menteri Besar Selangor semasa sidang media selepas beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, kelmarin.
 1 / 1 
MENYUSULI pemecatan Abdul Khalid Ibrahim sebagai ahli PKR dan perkenan Sultan Selangor untuk dia meneruskan tugas sebagai menteri besar, ramai orang atas pagar berharap akan wujud kerajaan campuran Pas - BN di negeri itu.

Ini diimpikan dengan masuknya Khalid sebagai ahli Pas, apa yang dia sendiri kata sedang diberi pertimbangan dan akan membuat keputusan selepas membersihkan diri daripada tohmahan bekas partinya.

Penyokong Pas yang mula muak dengan kongkalikong politik Anwar Ibrahim dan perlahan-lahan sedang meneutralkan diri, pun juga menaruh harapan serupa.


Konflik MB Selangor yang tercetus daripada idea Anwar mahu isterinya menggantikan Khalid menyebabkan Anwar dan PKR hilang legitimasi untuk memperjuangkan isu-isu lain yang lebih penting. Anwar kini dilihat seorang pemimpin yang cakap tidak serupa bikin.

Mengenai kerajaan campuran, jangan terlalu berharap!

Ia boleh diimpikan tetapi realiti politik tidak semudah itu untuk Pas menerima BN sebagai rakan kongsi membentuk Kerajaan Selangor yang baharu.

Mursyidul Am Pas sendiri adalah penghalang No 1. Lihat kenyataan-kenyataannya selama ini yang begitu mendalam dendamnya kepada Umno selepas parti itu ditendang keluar BN pada 1978. Dan kita pun sedia tahu bagaimana patuhnya pemimpin dan ahli Pas kepada Tok Guru Nik Aziz.

Justeru, apa yang paling hampir akan berlaku ialah 12 Adun Umno - BN Selangor hanya menyokong Khalid terus memegang jawatan MB jika berlaku usul undi tidak percaya terhadapnya dalam sidang Dun akan datang, yang dijadualkan pada November.

Kerajaan campuran, merujuk pada kes di Selangor adalah sebuah kerajaan yang ditubuhkan dengan gabungan anggota Exco daripada Pas dan BN.

Soalnya, apakah Pas atau Khalid begitu terdesak serta tidak mempunyai pilihan untuk melantik barisan anggota Exco yang baharu?

Harimau tua

Harus diingat bahawa Pas pada masa ini pun, tanpa Khalid mempunyai 15 anggota Dun. Dan saya juga percaya, akan ada seorang, dua atau tiga Adun PKR sekurang-kurangnya yang akan mengikut jejak Khalid meninggalkan PKR. Pada masa ini pun sudah terbayang wajah mereka di ruang minda saya namun tidak manislah untuk saya menyebut namanya!

Dalam kenyataannya kelmarin, Muhyiddin Yassin pun sekadar berkata bahawa 12 Adun Umno - BN hanya akan menyokong Khalid terus sebagai menteri besar. Siapa juga pun tahu bahawa itu yang paling mampu boleh dilakukan oleh BN untuk memastikan projek Langat 2 dapat direalisasikan.

Ada juga pandangan dari dalam Umno sendiri, adalah lebih baik untuk pemimpinnya sekadar diam, jangan membuat sebarang kenyataan kerana berdasarkan sejarah silam, sebarang kenyataan sangka baik Umno terhadap pakatan - seperti cadangan

Kerajaan Perpaduan - akhirnya akan balik menikam. Umno dituduh terhegeh-hegeh minta bergabung kerana tidak mampu lagi bertahan!

Justeru, saya terfikir ada baiknya bagi Umno untuk sekadar tunggu dan lihat hingga hingga sampai masa sidang Dun pada November. Pada masa itu, sokonglah untuk Khalid kekal jika benar mahu menyokong.

Apa pun, kenyataan Muhyiddin itu tidaklah sampai menjejaskan. Namun lebih elok berjaga-jaga. Mana tahu kalau-kalau pemimpin Pas nanti ambil langkah buat pusingan U. Bukan tidak biasa!

Apa pun, Umno janganlah bermimpi lebih daripada itu. Analogi saya, kedudukan Umno di Selangor pada masa ini tidak lebih seperti harimau tua. Walaupun lembu gemuk sudah di depan mata, lauk yang paling lazat itu hanya sekadar boleh dilihat, paling lebih dijilat sahaja kerana taringnya sudah tiada.

Pada pandangan saya, tiada pemimpin dalam barisan atas Umno Selangor sekarang yang diyakini rakyat seperti Khalid. Justeru, Khalid janganlah diganggu ataupun diberi sokongan yang tidak ikhlas untuk dia dimangsakan pula pada masa akan datang, selepas jadi mangsa politik PKR.

Lagi pun, Khalid asalnya daripada dalam mangkuk Umno juga, gayanya kurang lebih seperti Umno. sebab itu pada pilihan raya kecil Ijok yang pertama kali dia bertanding pada 2007, dia pernah tersasul meminta penyokongnya mengundi BN. Dia sertai PKR, pun kerana kecewa dengan permainan politik dalaman Umno yang menyaksikan seorang tokoh ekonomi negara sepertinya, tewas di tangan ahli politik kampung dalam perebutan jawatan ketua cawangan di Kuala Selangor.

Jadi dengan kekalnya Khalid sebagai MB, sudah cukup bagi Umno untuk bermesra-mesraan dengannya, sama-sama menguruskan negeri sebagai pembangkang yang konstruktif demi kepentingan rakyat.

Hannah Yeoh

Sebenarnya, masa depan Khalid dalam politik pun masih lagi samar. Walaupun dia nampak kuat, pengekalan jawatannya seperti yang diumumkan telah mendapat perkenan Sultan Selangor kelmarin setakat bersandar pada "sehingga ada perkembangan terbaru."

Setidak-tidaknya sehingga sidang Dun akan datang pada November, Khalid masih menteri besar. Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh jika mahu panggil sidang khas, hanya boleh melakukannya dengan arahan Khalid sebagai MB. Mustahil Khalid mahu adakan sidang Dun untuk orang beri undi tidak percaya terhadapnya!

Ada yang bertanya, bagaimana Khalid boleh beritahu Tuanku Sultan bahawa dia masih mendapat sokongan majoriti Adun - isu yang sama dibangkitkan Saifudin Nasution dan Tony Pua - sedangkan majoriti dalam Dun Selangor sekarang adalah ahli PKR,

DAP dan Pas yang masih dalam pakatan.

Itulah juga soalan yang sama kita boleh tanya semula kepada Saifudin dan Tony Pua, bagaimana mereka sendiri boleh yakin bahawa kesemua Adun itu menentang Khalid?

Ironinya, Khalid memberitahu demikian kepada Tuanku Sultan atas nama formaliti bahawa setakat ini tiada usul undi tidak percaya dikemukakan terhadapnya dalam sidang Dun, yang bermakna dia mendapat sokongan majoriti mengikut rekod sedia ada.

Yang penting, Tuanku Sultan mempunyai kuasa untuk memberi perkenan terhadap Khalid.

Jika tidak mempercayai Khalid, baginda boleh sahaja memanggil Adun-Adun untuk menghadap dan bertanyakan sendiri pandangan mereka sama ada mereka mahu Khalid kekal ataupun sebaliknya.

Ini pernah dilakukan oleh Sultan Perak pada Februari 2009 yang menyaksikan Nizar Jamaluddin akhirnya terpaksa turun dari kerusi MB.

Sekarang ramai mengandaikan Khalid akan sertai Pas, yang sekali gus akan mengubah komposisi kerusi dalam Dun Selangor dengan pertambahan kepada Pas - daripada 15 kepada 16 kerusi - manakala PKR berkurang kepada 13. DAP kekal 15 dan BN, 12.

Jika berlaku undi tidak percaya terhadap Khalid dengan andaian dia dan Pas akan dapat sokongan Adun BN sebagaimana yang telah diumumkan oleh Muhyiddin, akan ada 28 Adun berpihak kepada Khalid. Dan diandaikan pula kesemua Adun PKR kekal menentang, begitu juga DAP, pun juga 28 undi. Ini bermakna keputusannya seri.

Ramai yang garu kepala bagaimana konflik ini boleh disudahkan dengan keputusan yang demikian.

Jawapannya ada pada Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh, Adun DAP yang selain satu undi sebagai Adun, dia juga mempunyai satu undi penentu atau casting vote sebagai Speaker. Dengan ini, undi yang menentang Khalid boleh jadi majoriti mudah, 29.

Ertinya, Khalid belum tentu selamat untuk kekal jawatannya selepas November.

Apa pun, jangan ditolak kemungkinan akan ada Adun PKR yang melompat menyertainya.

Sekurang-kurangnya untuk masa sekarang, kita boleh tarik nafas lega.

No comments:

Post a Comment

Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab