BEBERAPA insiden dalam Muktamar Tahunan PAS di Johor, bermula gelagat sesetengah perwakilan Pemuda yang keluar dari dewan persidangan di Kota Tinggi semasa ucapan perasmian Timbalan Presiden, seterusnya kontroversi bacaan doa yang relatif panjang - dan menimbulkan rasa tidak senang banyak pihak - semasa perbahasan Ucapan Dasar Presiden di Batu Pahat, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
(Gambar atas: Adam Adli bersama ibu bapa dan rakan-rakannya di mahkamah, 19 September, selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan di bawah Akta Hasutan)
Malah beberapa hari sebelum bermulanya muktamar, ada rakan-rakan yang membuat spekulasi lebih "nakal", sehingga meramalkan tidak mustahil kejutan lebih besar berlaku. Seorang penganalisis politik yang rapat dengan saya beranggapan, krisis dalaman PAS bukan sahaja sudah cukup serius, tetapi boleh meledak ke tahap yang lebih parah, yang boleh memecah-belahkan parti.
Beliau cuba membayangkan suasana yang pernah dilalui Allahyarham Datuk Asri Muda, bekas Yang Dipertua Agung (Presiden) PAS - sehingga menjatuhkannya - boleh berulang. Saya ketawa mendengarnya. "Imiginasi Dr terlalu tinggi tu, keadaannya sekarang jauh berbeda, langit dengan bumi... tak mungkin," saya menafikan. Rupanya dia hanya mahu menduga saya! "Nak pancing Lutfi tunjukkan sokongan kepada siapa," tambahnya sambil senyum meleret.
"Muktamar ini akan menajamkan lagi persengketaan. Kalaupun isu Menteri Besar Selangor berakhir nanti, tapi konflik di antara dua 'kumpulan' tetap sukar untuk diredakan. Pemilihan 2015 menjadi kemuncaknya. Apa pun bagi saya, ia satu lagi bukti bahawa politik itu dinamik sifatnya, sebagai parti Islam PAS tidak terkecuali," ujar pensyarah sains politik itu melalui telefon ketika saya daftar-masuk di sebuah hotel bajet di Ayer Hitam, kira-kira setengah jam perjalanan ke tapak muktamar, petang Khamis lalu, hari pertama muktamar berlangsung.
Saya tidak sempat mengikuti Ucapan Dasar Presiden PAS kerana terpaksa menyiapkan tugasan di pejabat sebelum bertolak ke selatan tanah air.
Berjumpa kawan-kawan lama, berselisih bahu semasa mencari beriani gam dan satay terbaik di Batu Pahat juga tidak dapat meredakan ketegangan yang melimpah ke luar dewan muktamar. Menariknya, jenaka yang menceriakan masih sarat dengan sindiran politik, sebahagiannya terbawa-bawa dengan perbahasan muktamar, khususnya bacaan doa wakil Wilayah Persekutuan. "Lepas ini kita baca talkin pula, dalam bahasa Melayu," kata seorang pemimpin PAS kawasan, semasa kami makan tengahari Jumaat itu, di gerai nasi beriani, di hadapan hospital swasta, dekat Muar.
Apa pun penegasan Tuan Guru Abdul Hadi Awang tentang tahalluf siyasi dan pengukuhan Pakatan Rakyat semestinya disambut baik, dengan harapan dapat menamatkan pelbagai spekulasi dan sangkaan buruk, namun saya perhatikan masih bergantung kepada tafsiran pihak atau individu masing-masing.
"Saya ingin tegaskan bahawa tohmahan kononnya PAS mahu menyertai Umno atau bergabung dengan Umno menyertai BN adalah api fitnah yang dicetus oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan reputasi perjuangan Islam dan memecah-belahkan keutuhan jamaah kita," ucapan Presiden PAS dipetik.
"Keadaan menjadi sukar sekarang apabila hampir semua pimpinan penting di atas pentas, termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Timbalan Mursyidul Am, dilihat menjadi sebahagian daripada masalah. Maka kenyataan mahupun nasihat mereka tidak semestinya diterima dengan terbuka lagi," dakwa seorang wartawan berpengalaman selama lebih 25 tahun.
"Saya perhatikan tindakan yang dianggap biadap oleh satu pihak, tetapi diyakini baik dan perlu dilakukan untuk menyampaikan mesej, misalnya aksi keluar dewan semasa Mohamad Sabu baru berucap. Begitu juga hal doa wakil Wilayah Persekutuan, semasa ramai menegur, tidak kurang pula yang memujinya sebagai pendekatan sesuai," ujarnya.
"Kenapa setiap kali PAS bercakap tentang tahalluf, yang selalu kita dengar ialah istilah kaji, nilai semula dan sedia putus jika langgar syarat? Bagi saya, itu semua dalam nada negatif, yang mengundang prejudis. Jarang pula kita dengar KeADILan dan DAP berbicara dalam nada memberi amaran atau ugutan," tegas rakan saya ini sambil menekankan, dalam keadaan seperti itu agar sukar untuk PAS dapat memposisikan dirinya sebagai "abang tua" dalam persada politik tanah air.
Dia seterusnya bertanyakan pandangan saya tentang gembar-gembur isu hubungan PAS dan Umno. Walaupun pelbagai gosip disebarkan mengenai kemungkinan persefahaman politik antara PAS dan Umno, saya tetap yakin dengan pendirian rasmi yang dikeluarkan Ustaz Abdul Hadi. Berbalah atau berbeda pandangan dalam Pakatan Rakyat tidak bermakna ada kecenderungan untuk "bermain mata" dengan Umno. Isunya berbeda sama sekali.
Dan aktivis parti di pelbagai peringkat, khususnya akar umbi, setakat yang saya temui, buat masa ini tidak dapat menerima sama sekali kerjasama politik dengan Umno. "Kita boleh saja tidak bersetuju dengan Anwar Ibrahim atau Lim Guan Eng, berselisih soal pengganti Khalid Ibrahim, menyanggah aliran liberal, tetapi ia jangan diandaikan bermaksud untuk sengaja memutuskan hubungan sesama Pakatan dengan niat bergabung dengan Umno," kata seorang daripadanya.
Malah, ramai kalangan yang dilihat dari kelompok ulama menyifatkan ratib dakwaan kerajaan perpaduan (UG) adalah semata-mata fitnah untuk memburuk-burukkan mereka. Isu kritikal adalah bagi memastikan semua parti dalam Pakatan saling menghormati, tidak membuat keputusan sendiri, cermat menjaga sensitiviti dan PAS tidak mudah dituduh menjadi pak turut atau sekadar kuda tunggangan pihak lain mencapai cita-cita politik sehingga sanggup mempertaruhkan prinsip perjuangan.
Keluar pula senarai tindakan dan keputusan dibuat Anwar yang dikatakan menyinggung atau membuatkan PAS terdedah kepada situasi lebih sulit, terutama pada kaca mata masyarakat Melayu. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa meneruskan sikap gopoh. meremehkan atau memandang rendah pandangan orang lain, akibat terlalu ghairah untuk menjadi Perdana Menteri.
Tidak pula dipastikan apakah ada juga senarai panjang membutirkan aksi pemimpin DAP yang turut tidak disenangi pemimpin PAS. Yang nyata, episod tuduh-menuduh ini membayangkan wujud masalah komunikasi yang "agak parah" di peringkat kepemimpinan tertinggi, terutama membabitkan Anwar dan Ustaz Hadi.
Sebenarnya, pengaruh dan kekuatan yang dimiliki ketiga-tiga parti Pakatan merupakan aset besar kepada kelangsungan penerusan tahalluf. Berbeda dengan BN, tiada mana-mana parti yang dominan dalam Pakatan. Kedudukan PAS, KeADILan dan DAP kelihatan seimbang.
Pakatan tidak mampu diteruskan apabila satu parti menarik diri atau digugurkan. Ramai masih ingat, ketika mana DAP keluar daripada Barisan Alternatif pada penghujung 2011, hubungan itu tidak putus sepenuhnya. Jalinan kerjasama dalam bentuk "BA + DAP" masih terjalin erat, khususnya di negeri-negeri tertentu.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man pernah mengakui walaupun DAP sudah tidak bersama BA, tetapi di negeri berkenaan hubungan erat itu tidak pernah terputus. Apabila saya bertanyakan rakan-rakan di Johor, mereka juga berkata amalan sama berterusan.
"Itu 12 tahun dulu, ketika pemimpin ketiga-tiga parti di peringkat pertengahan dan bawahan tidak serapat sekarang. Bayangkan, selepas melalui muafakat politik yang lebih tulus, merakyat, dengan pelbagai event bersama termasuk penganjuran siri demonstrasi Bersih, malah berbuka puasa dan bersahur sekali, saya yakin Pakatan payah untuk dirobek walaupun nampak dahsyat berkocak," kata seorang pemimpin PAS peringkat negeri.
Memanglah manfaat tahalluf ini sukar dinilai secara menyeluruh dalam tempoh singkat. Dan tidak sepatutnya ia dirombak dengan begitu mudah hanya disebabkan ada pihak yang merasakan keuntungan yang diperolehinya seperti "tidak berbaloi" buat masa ini.
"Misalnya Selangor, pada tahun 2008, PAS hanya menang 8 kerusi Dun, agak jauh rendah berbanding KeADILan dan DAP, masing-masing 15 dan 13 kerusi. Sedangkan selepas lima tahun, PAS tambah hampir dua kali ganda, menjadi 15. Yang penting, ruang seimbang dan adil ada dalam Pakatan, tiada parti boleh membuli antara satu sama lain," ujar seorang AJK PAS Pusat.
Benar, sepanjang perbahasan dalam muktamar kali ini, makin terserlah perbedaan dan kelainan. Masing-masing sudah meluahkan apa yang terbuku di hati. Memang ada yang terasa pedih dan peritnya. "Sepanjang 30 tahun saya bergiat dalam PAS, inilah saat paling memilukan. Kata mengata, umpat fitnah seolah-olah tiada dosa. Rakan karib sekelip mata menjadi renggang. Harapnya ukhuwwah seperti dahulu dapat dipulihkan," kata pemimpin pertengahan yang jelas sedih dengan apa yang dilaluinya mutakhir ini.
Saya turut berkongsi rasa dengan wartawan Haris Zalkapli, anak Kluang, bahawa sehingga malam Jumaat, 19 September, hanya berbaki separuh hari lagi perjalanan muktamar, tumpuan tetap difokuskan kepada isu Selangor, manakala pemilihan negeri kubu kuat Umno itu sebagai tuan rumah hanya sekadar menjadi lokasi muktamar.
"Bimbangnya pemilihan Johor tidak membawa banyak manfaat kepada PAS di sini. Takut rakyat kaget, terkejut dan takut dengan insiden yang berlaku dalam muktamar, yang disiarkan meluas dalam media, khususnya TV. Dan isu-isu negeri langsung tidak dapat dibangkitkan secara berkesan," pendapat seorang perwakilan ketika sarapan pagi bersamanya.
Anak-anak muda mahasiswa, dari jauh, turut berkomentar: "Kes Akta Hasutan Adam Adli juga tenggelam dengan hiruk-pikuk pertelagahan dalam muktamar PAS. Dia didapati bersalah dan dihukum penjara 12 bulan pada hari kedua muktamar. Isu ini bagai dilupakan walaupun usul herkaitannya diluluskan perwakilan. Macam itu juga berlaku kepada Safwan Anang."
Petang Jumaat itu juga, seorang pembaca setia Harakah dari Baling, menghantar SMS kepada saya: "Tolonglah bagi liputan dalam Harakah, isu harga getah sekilogram RM1.70, selepas bagi dua bolehlah sekilo RM0.85. Barang makin naik, kerajaan janji nak bagi pada penoreh, sampai sekarang tak dapat, kalau dapat pun yang tak motong (menoreh)."
Saya segera teringat perbahasan wakil Melaka, Yuhaizad Abdullah: "Siapakah Pakatan Rakyat? Apakah ia PAS dan KeADILan? Apakah ia KeADILan dan DAP? Apakah ia PAS, KeADILan dan DAP. Kadangkala kita terlupa bahawa dalam Pakatan Rakyat ini, PAS adalah golongan minoriti, KeADILan juga minoriti, DAP juga minoriti. Ketiga tiganya kalau digabungkan sekali pun tetap minoriti. Golongan majoriti dalam Pakatan ialah RAKYAT." – HARAKAHDAILY 23/9/2014
No comments:
Post a Comment
Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab