SUNGAI PETANI - Beberapa wakil rakyat PKR di negeri ini menyatakan pendirian menerima sesiapa sahaja yang dipilih Sultan Selangor bagi menjawat menteri besar yang dijadualkan berlangsung majlis angkat sumpah hari ini.
Adun Lunas, Azman Nasrudin berkata, pihaknya mengharapkan seluruh pucuk pimpinan menerima keputusan dengan lapang dada walaupun calon bukanlah Presiden Parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Sekiranya yang dipilih adalah presiden parti, kami amat berbangga kerana beliau merupakan wanita pertama menjadi menteri besar di Malaysia.
“Bagaimanapun, sekiranya yang dipilih bukan daripada PKR, seharusnya dan sewajibnya seluruh pucuk pimpinan menerima dengan hati terbuka,” katanya semasa sidang media di Pejabat Adun Bukit Selambau di Cinta Sayang Resort Homes, semalam.
Menurutnya, keputusan siapa menteri besar yang diputuskan sudah pasti ada hikmah besar yang dijanjikan ALLAH SWT dan terbaik buat semua.
“Kami yakin pucuk pimpinan telah pun berusaha baik dalam jangka panjang untuk menobatkan presiden sebagai menteri besar, namun selepas usaha dan ikhtiar yang dilakukan, eloklah kita menerima keputusan Tuanku Sultan Selangor seadanya.
“Kemudian, kita gembleng semula kekuatan seluruh jentera parti dan Pakatan Rakyat bagi menobatkan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, Adun Bukit Selambau, Dr Krishnamoorthy berkata, kemelut yang panjang akan selesai dengan pelantikan menteri besar baru.
Disebabkan itu, tidak wajar terus mempertahankan sesuatu ketegangan yang mana boleh kendurkan dalam keadaan pihak istana bersedia menyelesaikan kemelut itu.
“Kami sebagai pimpinan akar umbi sentiasa menyokong pucuk pimpinan yang mempertahankan perlembagaan dan demokrasi, namun jika kemelut berterusan, rakyat dan penyokong parti akan terus kecewa yang mungkin beranggapan kepimpinan hanya mementingkan amalan serta konvensyen,” katanya.
Menurutnya, berundur bukan bermakna menyerah kalah atau menggadai maruah tetapi dengan setapak berundur, dalam masa sama menyusun strategi dan lawan menuju kejayaan buat rakyat.
Hadir sama, Ketua Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Padang Serai, Mohd Ridhwan Razali dan Timbalan AMK Sungai Petani, Firdaus Yusof.
No comments:
Post a Comment
Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab