Friday, December 13, 2013

Himpunan bantah kenaikan cukai taksiran DBKL 16 Dis


KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan memandang serius tindakan untuk menaikkan cukai taksiran hartanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

PAS Wilayah Persekutuan melihat ini sebagai satu tindakan yang tidak melihat kepada realiti sebenar warga WP yang sememangnya telah dihimpit dengan pelbagai masalah ekoran hambatan ekonomi yang semakin mencabar pada masa sekarang.

“PAS Wilayah Persekutuan yakin tindakan ini pasti akan memberikan kesan kepada cukai pintu yang terpaksa ditanggung oleh warga KL.

“Persoalan yang lebih besar yang mahu kami bangkitkan di sini, adakah DBKL sedar ataupun tidak bahawa rakyat sekarang sedang dihimpit dengan tekanan kehidupan dengan kenaikan harga barang yang membebankan?” ujar Pesuruhjayanya, Mohd Noor Mohamad dalam satu kenyataan. 

Katanya, GST sahaja sudah cukup untuk memeningkan warga WP bagaimana untuk meneruskan survival kehidupan sekarang dengan kos hidup yang semakin meningkat  kesan kenaikan harga barang keperluan yang tidak terkawal, kenaikan harga minyak, bakal kenaikan tarif elektrik, tol dan tambang pengangkutan awam .

Sekarang, ujarnya warga WP dibebani pula dengan cukai taksiran hartanah oleh pihak DBKL. 

Beliau berkata, ia satu tindakan yang diluar jangkaan kita dan luar jangkaan sebagai seorang warga WP yang terpaksa berhempas pulas untuk mencari sesuap rezeki. 

Tambah beliau, ianya juga amat bertentangan dengan slogan kerajaan BN yang dilaungkan selama ini 'Rakyat diutamakan'.

Menurutnya, melihatkan ianya adalah satu kezaliman kepada warga WP, maka menjadi satu tanggungjawab kepada PAS Wilayah Persekutuan melancarkan kempen membantah kenaikan cukai taksiran hartanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Maka dengan itu kami menyeru kepada seluruh ahli PAS khususnya ahli PAS di Wilayah Persekutuan dan seluruh warga kota untuk hadir menyatakan bantahan pada 16 Disember ini di Dataran DBKL, Jalan Raja Laut jam 11.00 pagi, insya Allah. 

“Ini bukannya isu untuk agenda kepentingan parti-parti tertentu tetapi ianya merupakan agenda rakyat yang mesti diutamakan dan diperjuangkan. Jangan lupa insya Allah kita bertemu di sana,” katanya.

No comments: