KAJANG: Tokoh dermawan Datuk Ujang Bagong meramalkan bahawa calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang 80% undi dalam pilihanraya kecil (PRK) Kajang bulan depan.
“Anwar akan menang 80% undi rakyat. Yang lain akan mendapat 20% dan hilang deposit,” kata anak tempatan terkenal Kajang yang berumur 90 tahun.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah sebelum majlis hi-tea bersama Anwar di Sungai Kantan petang semalam.
Ujang seorang bekas anggota tentera dan banyak terlibat dalam aktiviti kebajikan. Beliau banyak menyumbangkan wang kepada masjid dan sekolah.
Selain itu beliau pernah memegang jawatan timbalan pengerusi Persatuan Mencegah Dah Malaysia (Pemadam) peringkat daerah Hulu Langat.
Dalam bidang politik pula beliau menyertai Umno “ketika zaman Datuk Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor dalam era 1970an)” dan meninggalkan Umno tiga tahun lalu.
“Saya hanya menyokong Anwar kerana politik Umno semakin kotor,” kata beliau.
Selain Anwar, calon MCA, bekas naib presiden PKR Zaid Ibrahim, calon Parti Generasi Baru, dan bekas pembantu pasukan peguam bela Anwar, Yuktes Vijay turut berminat untuk bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan hari pengundian pada 23 Mac dan hari penamaan calon pada 11 Mac.
Dun ini mempunyai 38,965 pengundi dan jumlah peratusan pengundi yang mengundi dalam pilihan raya umum tahun lalu 87.9%.
Dari jumlah tersebut, 48% ialah pengundi Melayu diikuti oleh 41.1% Cina, 10% India dan 1% lain-lain.
Ujang menegaskan bahawa Anwar perlu memenangi kerana hanya Anwar berupaya menyatukan dan membela umat Melayu dan Islam.
Ketika ditanya mengenai Zaid, beliau berkata: “Zaid kacau daun saja. Dia dan yang lain akan hilang deposit. Lagipun dia bukan dari sini,” kata Ujang.
Beliau yang ditemui dalam pakaian kegemarannya baju jubah hijau dan songkok hitam merupakan tokoh tempatan yang pertama ditemui Anwar setelah diumumkan sebagai calon.
“Saya beri dia kata semangat dan nasihatkan tiga perkara. Yang pertama, bersatu kembangkan umat Nabi Muhammad saw, sayangkan umat manusia dan jangan bercanggah cakap,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Komen Adalah Atas Tanggung Sendiri, Blog Ini Tidak Bertanggungjawab