Pakatan Rakyat Kedah hari mendakwa pembatalan keputusan untuk menutup Universiti Antarabangsa AlBukhary milik jutawan Melayu terkenal, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, dibuat setelah kerajaan Kedah pimpinan Mukhriz Mahathir dikatakan bersetuju menyalurkan wang untuk menyelamatkan Universiti tersebut.
Walaupun tidak ada bukti wujud penyaluran wang oleh kerajaan negeri seperti yang disebutkan di atas, tapi Pakatan Rakyat Kedah yakin, campur tangan ini memang berlaku kerana Mukhriz awal-awal lagi telah menyatakan pendiriannya yang tidak mahu Universiti itu ditutup.
Lagipun sebagai anak Mahathir, Pakatan Rakyat yakin Mukhriz turut mewarisi kegemaran bapanya menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat milik kroni yang hampir muflis seperti yang ditunjukkan Mahathir dalam tahun-tahun sekitar 1999-2002.
Ketika itu, beberapa syarikat besar milik kroni UMNO seperti Renong, MAS, MCIS, Celcom dan sebagainya, diselamatkan kerajaan dengan perbelanjaan besar sebelum diletak dibawah Kementerian Kewangan oleh Mahathir.
Inilah masanya istilah GLC (Government Link Companies) ini bermula, dan menandakan kejatuhan polisi penswastaan yang diasaskan Mahathir pada lewat 80-an dulu - kalau ada yang tidak tahu.
Memang ramai tidak bersetuju dengan tindakan Mahathir ketika itu, tapi kerana rakyat Malaysia faham negara baru pulih dari krisis ekonomi, selain bagi memastikan kakitangan syarikat terbabit serta keluarga mereka tidak kehilangan pekerjaan, maka keputusan itu adalah wajar.
Tapi dalam hal ini, rakyat Kedah wajib membantah kerana Syed Mokhtar adalah seorang yang melimpah ruah dengan kekayaan.
Sebagai antara beberapa kerat Melayu yang menduduki senarai 10 terkaya di Malaysia, Pakatan Rakyat yakin Syed Mokhtar mempunyai wang yang cukup untuk menyelamatkan Universiti tersebut - kalau benarlah ia mengalami kerugian.
Mukhriz tidak sewajarnya menggunakan kuasa sebagai Menteri Besar Kedah untuk menyelamatkan Universiti itu dari muflis.
Kedah sendiri mempunyai beberapa institusi pendidikan bermasalah yang masih tidak selesai sehingga sekarang, antaranya Kolej Universiti Insaniah (KUIN), kenapa nak tambah masalah ini dengan Universiti milik persendirian pula?
Justeru, Pakatan Rakyat Kedah akan mengadakan satu demonstrasi besar-besar bagi mendesak supaya kerajaan Kedah membatalkan apa bentuk penyaluran dana awam untuk menyelamatkan Universiti swasta yang dimiliki antara orang paling kaya di Asia ini!!
Demonstrasi ini akan diadakan di lokasi sama menuntut campur tangan kerajaan persekutuan dalam menaikkan harga getah dulu, iaitu di Baling. Difahamkan, persiapannya pun sedang rancak diatur.
Harapan Pakatan Rakyat ialah supaya Mukhriz tidak meneruskan hasrat tersebut atau bersedia menghadapi bantahan besar-besaran dari rakyat.