Thursday, April 24, 2014

Jawatan MB: Ahmad tak 'ambil pusing'

  • Ahmad SaidAhmad Said
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini mengulangi kenyataan tidak mahu melayan khabar angin dan spekulasi yang ditimbulkan pihak tertentu berhubung peralihan kuasa pucuk pimpinan negeri.
  
"Biarlah surat khabar atau siapa-siapa mahu membuat spekulasi, asalkan mereka bahagia'" katanya ketika diminta mengulas spekulasi yang kini tersebar luas di laman sosial dan blog kononnya beliau akan digantikan dengan pemimpin lain bagi menerajui kerajaan Terengganu.
  
Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata ketika ini kedudukan kerusi Dun yang menyaksikan 17 kerusi dimiliki kerajaan Barisan Nasional (BN) dan 15 kerusi lagi disandang pembangkang adalah lebih mustahak dan perlu diberi perhatian.

 
"Kita orang politik ni macam-macam spekulasi sebab itu saya tidak percaya laman sosial seperti blog dan FB (Facebook). Saya sendiri sudah tutup FB tetapi ada lagi dua ala-ala klon nama saya yang didaftarkan di Amerika Syarikat dan Singapura," katanya.
  
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corp (EPIC) Berhad dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.  
  
Akhbar melaporkan dakwaan beberapa laman sosial berdasarkan sumber yang boleh dipercayai bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal membuat rombakan dan penukaran beberapa Menteri Besar termasuk Terengganu.
  
Spekulasi itu turut menyebut beberapa pemimpin yang dikatakan akan menggantikan Ahmad termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud.
  
Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 22 Mac 2008. - Bernama