Wednesday, June 25, 2014

SU Perkasa ugut keluar Umno jika RUU Harmoni dilaksana

syed hassan syed ali perkasa copy
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata beliau dan ahli-ahli Perkasa akan menolak pimpinan negara sekiranya pihak Kerajaan menerima cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan sedia ada dan menggantikannya dengan Rang Undang-Undang (RUU) baru akta itu.

Katanya, jika pihak kerajaan menerima cadangan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) itu, beliau percaya ramai ahlinya dan NGO Melayu Islam lain akan menolak kerajaan dan kepemimpinan negara sedia ada.
“Kalau kerajaan terima cadangan memansuhkan Akta Hasutan yang sedia ada dan menggantikannya dengan RUU baru ciptaan MKPN, ahli-ahli Perkasa akan tolak pimpinan negara yang ada.

“Saya sendiri selaku Setiausaha Agung Perkasa akan keluar dari Umno dan ribuan akan bersama keluar dari Umno. Bukan terjebak mainan MKPN tetapi meluat dengan kebodohan pemimpin Melayu yang sentiasa ikut cadangan pihak yang ada agenda melemahkan Melayu dan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Syed Hassan turut mengingatkan pihak Kerajaan supaya ‘jangan terperangkap dengan mainan MKPN’ dan sekiranya pihak Kerajaan mahu melihat penyokong Barisan Nasional meninggalkan parti.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang MKPN Lim Chee Wee semalam bahawa ancaman seorang pemimpin NGO itu untuk ‘memancung leher’ pihak yang didakwa mempertikaikan agama Islam dan memperlekeh arahan Sultan boleh menjadi kesalahan bawah RUU baru menggantikan Akta Hasutan.
Syed Hasan turut menempelak pihak kerajaan yang didakwanya tidak sedar dan asyik diperbodohkan oleh pihak yang mahu melemahkan kuasa politik Melayu dan Islam melalui pemansuhan atau pindaan kepada beberapa akta tertentu.
“ISA turut dimansuhkan. Akta Perhimpunan Aman dipinda jadi lintang pukang. Akta Tahanan Terhad dihapuskan.
“Semuanya ikut telunjuk pihak yang ingin melemahkan kuasa politik Melayu dan pemimpin-pemimpin asyik ikut sahaja hanya kerana nak dapatkan sokongan palsu,” katanya.
Beliau turut membidas dan memperleceh kenyataan Lim itu bahawa setiap cadangan MKPN tidak semestinya diterima kerajaan.
“Ewah, cantik dia punya bahasa. Dia ingat cadangan MKPN semestinya diterima oleh kerajaan? Jangan ‘syok’ sendirilah.
“MKPN tidak ada pun terfikir undang-undang lebih ketat untuk dikenakan kepada yang perlekehkan Institusi Raja-Raja Melayu. Mana ada dia fikirkan undang-undang lebih ketat untuk mendakwa mereka yang persoalkan hak Melayu dan Islam,” katanya.