Tuesday, June 24, 2014

‘Tidak perlu timbul isu meminta pandangan dari rakyat’

Saari_Sungib_300x200
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib berkata tidak perlu timbul isu meminta pandangan dari rakyat kerana Pakatan Rakyat (PR) sentiasa mementingkan khidmatnya kepada rakyat.

Menurut beliau, rakyat sememangnya berhak untuk memberi pandangan kerana PR tetap dengan prinsip demokrasinya.
“Pada saya PR di Selangor iaitu DAP, PKR dan PAS telah bekerjasama dengan mantap.

“Semua perkara mengenai masalah pucuk kepimpinan akan dibincang dalam mesyuarat exco bagi menangani masalah-masalah tersebut,” katanya.
Tambah beliau, PAS sendiri telah memberi kepercayaan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
“Jika mempunyai masalah, kami akan berbincang dan tegur-menegur untuk menangani sesuatu masalah.
“Jika merasakan Khalid patut berundur, kita juga akan berbincang bersama di dalam mesyuarat tertinggi PR,” jelasnya.
Katanya lagi, polisi dasar program yang dijalankan mestilah memenuhi hasrat rakyat. parti yang diberikan amanah akan memastikan garis dan haluan perjalanan berada dalam landasan yang menepati hasrat rakyat.
“Isu meminta pandangan rakyat tidak perlu dibangkitkan kerana isu pemecatan Khalid adalah urusan dalaman,” ujarnya.
Saari berkata demikian ekoran Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad membidas kritikan pemimpin PR yang mendesak agar kedudukan Khalid ditukar kerana lemah mentadbir negeri.
Iskandar mengatakan pandangan rakyat Selangor perlu diambil kira kerana mereka juga berhak memilih seseorang menteri besar dan bukan hak mutlak orang politik semata-mata.